Thursday, June 04, 2015
Saya Akan Terus Berjuang, Tidak Patah Semangat – Najib
4 Jun 2015, Kuching : “Saya tidak akan patah semangat, darah
dalam diri saya ini bukan darah sembarangan, saya mungkin dilihat
adakalanya bersemangat diplomatik, tapi semangat kepahlawanan tetap ada
dalam saya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Jangan pandang rendah saya, saya akan terus berjuang, dan saya yakin BN Sarawak akan bersama saya,” katanya.
Sarawak menjadi negeri terkini (selepas Sabah dan Perlis) bagi Najib
yang akan membolehkan beliau tidur dengan nyenyak, selepas melihat
sokongan padu Sarawak kepada Barisan Nasional (BN) yang diterajui
beliau.
“Ketua Menteri Sarawak (Tan Sri Adenan Satem) tadi kata awak tidak
berseorangan, saya sambut dengan (berkata) saya gembira kerana saya
tidak berseorangan. Malam ini saya boleh tidur nyenyak, isteri saya pun
boleh tidur nyenyak, kami tidur sebantal, mimpi pun sama, kami rasa lega
kerana Sarawak BN jelas begitu ikhlas menyokong, saya boleh baca hati
orang,” katanya.
Menurutnya beliau adalah Perdana Menteri yang paling kerap melawat
Sarawak, dan kehadiranya tidak pernah dengan tangan kosong, yang mana
dalam tempoh lima tahun pentadbirannya beliau telah meluluskan
peruntukan pembangunan berjumlah lebih RM1 billion secara ‘serta merta’
buat pelbagai projek di Sarawak.
Berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat #sarawakfornajib di Stadium
Perpaduan di sini hari ini, katanya beliau yakin di bawah kepimpinan
Adenan, BN akan terus mendapat mandat besar di Sarawak, menjadi pembuka
tirai kepada kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau yang memuji kehebatan Adenan menerajui Sarawak berkata: “Dia
(Adenan) hanya minta satu penggal saja (Pilihan Raya Negeri akan
datang), lima tahun lagi pentadbiran, bukannya 22 tahun”.
Najib berkata Perdana Menteri sebelum ini turut mengharungi pelbagai
masalah besar dalam pentadbiran, dan disebabkan sokongan setia
sebagaimana yang dicurahkan beliau kepada pemimpin-pemimpin sebelum ini,
membolehkan Perdana Menteri sebelumnya kekal berkuasa, ada sehingga 22
tahun.
“Ini zaman saya sebagai PM (Perdana Menteri), takkan saya kena turun kerana kehendak seorang.
Saya dipilih siapa? Rakyat bukan rakyat Malaya (semenanjung Malaysia)
saja.
Rakyat Sarawak juga memilih saya sebagai ‘Apai Besai’. Saya nak
tanya orang Sarawak …nak lagi saya jadi PM ke tidak?” kata beliau dengan
disambut dengan sorakan gemuruh “nak”.
“Saya akan terus pimpin negara kita, saya akan terus berjuang kerana
banyak agenda kita belum selesai, paling utama kita nak wujudkan sebuah
negara Malaysia yang maju.
Katanya BN mahukan kemenangan besar dalam pilihanraya akan datang,
kemenangan yang cukup meyakinkan, dan apabila menang nanti pula, mereka
perlu bersikap merendah diri.
“Eksyen sikit tak apa, tapi jangan berlebihan dan perlu merendah
diri, jangan malukan orang, merendah diri dan rakyat akan menghargai
kamu, kita teruskan perjuangan ke hadapan. Insya-Allah BN akan berjaya
pilihan raya akan datang kalau kita bersatu,” katanya.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment