Wednesday, June 03, 2015
‘Saya Berpegang Kepada Prinsip Keadilan Kepada Semua’
3 Jun 2015, Kuching : Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau
berpegang kepada prinsip keadilan sosial dan perlu adil kepada semua
pihak sebagai pemimpin negara.
Kata Perdana Menteri, prinsip tersebut bukan sekadar sebutan atau retorik politik, tetapi akan dilaksanakannya.
“Saya katakan bahawa sebagai ketua kepada kerajaan Pusat, (saya) akan membantu Sarawak untuk berjaya dalam Malaysia.
“Kita mahu memastikan pembangunan Sarawak seimbang dengan
Semenanjung, ia akan ambil masa, makan belanja besar, tetapi jika
mengurus negara dengan baik, kita boleh cari hasil dan hasil tambahan
akan cuba diagihkan secara seimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat dalam majlis Makan
Malam Perayaan Gawai Dayak 2015 di Dewan Persatuan Kebangsaan Dayak
Bidayuh (DBNA) di Jalan Kumpang malam ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Timbalan Ketua
Menteri, Tan Sri Dr. Alfred Jabu Numpang dan Pengerusi Pengelola Majlis
Makan Malam Gawai Dayak 2015, Datuk Seri Michael Manyin Jawong.
Lebih 3,000 orang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan agama hadir bagi meraikan perayaan Gawai Dayak di negeri ini.
Sambutan tahun ini merupakan giliran masyarakat Bidayuh dengan
bertemakan ‘Besindi Bersama, Segulai Sejalai, Peji Peju Pejoh’ iaitu
membawa maksud ‘perpaduan’ dalam bahasa Bidayuh, Iban dan Orang Ulu.
Najib berkata, jika terdapat mana-mana wilayah yang ketinggalan dari
segi pembangunan, maka sewajarnya kawasan itu akan mendapat lebih
peruntukan.
“Mana kawasan kurang maju luar bandar, maka perlu diberi keutamaan
seperti disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), pembangunan
luar bandar tetap jadi keutamaan kita.
“Ini adalah tugas saya melihat keadilan sosial di Malaysia, tidak
boleh melihat satu wilayah jauh lebih ke hadapan daripada yang lain,”
jelasnya.
Menurutnya lagi, Sarawak merupakan rakan setia yang sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan.
“Terima kasih Ketua Menteri yang menunjukkan sokongan tidak berbelah-bahagi dan tanpa syarat.
“Bukan hanya menunjukkan sokongan semasa senang, malah semasa susah,
ketika melihat sekeliling tiada orang dan berasa sunyi, saya tahu tidak
keseorangan dengan sokongan penuh rakyat Sarawak,” ujarnya.
Perdana Menteri berkata, keadaan Sarawak yang begitu aman, stabil dan
harmoni walaupun mempunyai 27 kumpulan etnik dan sub etnik serta lebih
40 dialek, merupakan model perpaduan dan 1Malaysia.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment