Thursday, April 14, 2016
Beranikah Khairy Jamaluddin Sahut Cabaran TMJ??
Ayuh lakukannya untuk penyokong bola sepak kita, tegas Tengku Mahkota
Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mencabar Menteri Belia dan
Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berbahas mengenai prestasi bola sepak
negara.
"Saya individu yang telus dan jujur, ini satu cabaran daripada saya. Saya bukan ahli politik dan tidak memerlukan sebarang undi.
"Saya tidak bercadang untuk menjadi presiden FAM dan seperti saya
katakan sebelum ini, bola sepak bukan sumber pendapatan saya," katanya
dalam kenyataan lewat malam tadi.
Malah menurut pemilik JDT itu, sesi perbahasan itu juga diharap
disiarkan secara langsung melalui syarikat penyiaran berbayar, Astro.
Tunku Ismail menggesa pihak Astro mengadakan siaran langsung perbahasan
beliau bersama Khairy, wakil FAM, ketua jurulatih kebangsaan Datuk Ong
Kim Swee, Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim
Teong Kim dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia B
Sathianathan.
"Ia untuk berbahas tentang siapa yang bertanggungjawab bagi prestasi
buruk pasukan kebangsaan dan bola sepak Malaysia serta apa tindakan
selanjutnya yang perlu dilaksanakan.
"Dalam program ini juga, mereka perlu membenarkan para penyokong untuk
menyuarakan pendapat mereka dan menanyakan apa-apa soalan yang mereka
mahu.
"Suara penyokong perlu menjadi keutamaan kerana kita berkhidmat kepada
mereka dan penyokong mempunyai hak untuk mengetahui masalah sebenar bola
sepak Malaysia," katanya.
Masalah sistem
Ahad lalu, beliau menggesa Khairy bertanggungjawab terhadap mutu bola
sepak negara yang sebelum itu menyifatkan pemain tempatan kurang
berkualiti susulan prestasi merosot pasukan kebangsaan.
Mengulas lanjut tujuan program itu dicadangkan, Tunku Ismail menegaskan
beliau sudah penat dan bosan dengan pembohongan serta perkara yang cuba
diselindungkan.
Sebagai putera diraja rakyat katanya, suara rakyat perlu didengari dan suara mereka adalah keutamaan beliau.
"Saya setuju bahawa mereka kurang (pemain) berkualiti. Tetapi kenyataan
saya adalah siapa yang bersalah? Saya adalah seorang anggota tentera dan
saya dilatih untuk menggalas tanggungjawab.
"Jika mana-mana anggota tentera kita tidak layak untuk menjalankan tugas
mereka, siapakah yang bersalah? Ia adalah kesalahan kita."Jika pemain
bola sepak kita kurang kualiti, siapa yang bersalah? Ia adalah sistem dalam persatuan bola sepak dan latihan oleh jurulatih kita," katanya yang memberi analogi anggota tentera dan pemain bola sepak.
Cukuplah berselindung
Tambah beliau, kualiti pemain pada penghujungnya bergantung kepada didikan dan latihan mereka seperti mana tentera
"Jadi hujah saya kita tidak perlu keluarkan kenyataan menyalahkan
pemain. Sebaliknya, kita sebagai orang-orang besar dalam kelab bola
sepak, persatuan dan jurulatih perlu bertanggungjawab.
"Ini dipanggil memikul tanggungjawab dan bukan sentiasa melarikan diri,
menyalahkan pemain, FAM, persatuan bola sepak dan kelab," jelasnya.
TMJ turut mendakwa beliau terkejut apabila FAM tidak berminat
memperbaiki masalah tersebut dengan mengadakan mesyuarat walaupun sudah
mengetahui masalah sebenar.
"Itulah sebabnya dalam kenyataan saya ada menyebut tidak ada sesiapa
yang benar-benar mengambil berat tentang bola sepak Malaysia kecuali
saya.
"Sama ada anda suka atau tidak, saya akan terus berjuang menentang
mana-mana rejim yang korup. Anda sepatutnya berdiri bersama dan menuntut
perubahan.
"Cukuplah dengan segala perkara-perkara yang cuba diselindungkan," pesan beliau.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment