Monday, April 18, 2016
Masa Untuk Memacu Negara Ke Hadapan
EDITOR MENULIS...
18 APRIL 2016
Serangan bertali arus terhadap Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak, terutama dakwaan terhadap pembabitannya di
dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB); kini terjerlus di dalam
beberapa lubang jalanan.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah mengemukakan satu
laporan setebal 106 muka surat yang dibentangkan di Parlimen pada 7
April 2016; yang antara lainnya menyatakan siasatan oleh badan tersebut
mendapati tiada bukti untuk mengaitkan Perdana Menteri dengan pengurusan
1MDB, dan tiada bukti berlaku pemindahan dana daripada 1MDB ke akaun
peribadi Najib.
PAC membuat kesimpulan bahawa semua dana daripada syarikat milik
penuh kerajaan ini telah dapat disahkan; tetapi kewangan dan
pengurusannya didapati “tidak memuaskan”.
PAC menggesa agar satu siasatan menyeluruh dilaksanakan ke atas
pengurusan 1MDB, di mana ia mendakwa pengarah-pengarahnya telah gagal di
dalam mengambil tindakan sewajarnya dan tidak proaktif di dalam
pengawasan terhadap pengurusan syarikat. PAC turut menggesa agar
siasatan penuh dilaksanakan terhadap kelalaian mantan Ketua Pegawai
Eksekutifnya Datuk Shahrol Halmi dan ahli pengurusan lain.
Berikutan laporan PAC yang dikemukakan kesemua ahli lembaga pengarah
syarikat tersebut menawarkan peletakan jawatan mereka secara serentak,
dan kita wajar menerimanya tanpa mengecualikan mereka daripada sebarang
salah laku atau kecuaian sekiranya dibuktikan menerusi siasatan yang
dijalankan.
Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 14 April
menyatakan bahawa PDRM akan menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat
hasil laporan PAC, termasuklah mendapatkan maklumat daripada mantan
Ketua Pegawai Eksekutifnya untuk membantu siasatan dan menentukan bukti
terhadap mereka yang wajar dipertanggungjawabkan di atas perkara ini.
Laporan oleh PAC juga telah mengukuhkan laporan siasatan yang
dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara yang menyatakan bahawa Perdana
Menteri tidak terlibat di dalam pengurusan 1MDB dan dananya; yang telah
membawa kepada kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang
turut membuat kesimpulan yang sama.
Ia juga adalah pernyataan terbaharu yang melepaskan Najib daripada
tuduhan terhadap penglibatannya di dalam 1MDB, dan seharusnya diterima
sebagai satu bukti kukuh yang sahih – memandangkan anggota PAC terdiri
daripada kalangan ahli-ahli Parlimen kedua-dua belah Barisan Nasional
dan juga Pembangkang.
Baru-baru ini, akhbar The Guardian, yang berpangkalan di United
Kingdom, dan media massa Malaysia melaporkan kenyataan oleh Menteri Luar
Arab Saudi, Adel al-Jubeir, yang memaklumkan bahawa wang berjumlah
RM2.6 bilion yang dipindahkan ke akaun Perdana Menteri Malaysia adalah
satu pemberian peribadi.
“(Wang tersebut) adalah satu sumbangan ikhlas tanpa sebarang syarat
untuk pulangan kembali. Kami juga sedia maklum bahawa Peguam Negara
Malaysia telah menjalankan penyiasatan terperinci terhadap perkara ini
dan mendapati tiada sebarang salah laku. Jadi bagi kami, perkara ini
dikira sudah selesai,” beliau dipetik sebagai berkata.
Laporan PAC dan kenyataan Menteri Luar Arab Saudi itu membuktikan
bahawa dakwaan wang RM2.6 bilion merupakan sebahagian daripada dana 1MDB
adalah tidak benar. Kita seharusnya menerima ketetapan bahawa
“seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan kesalahannya”
berdasarkan bukti yang diutarakan.
Ia juga adalah perkara yang sama di dalam pengurusan dan pentadbiran
negara; iaitu kepimpinan secara majoriti, baik di Parlimen, Barisan
Nasional mahupun UMNO. Justeru itu, sekiranya Najib masih terus mendapat
sokongan majoriti Dewan, kepimpinan beliau tidak wajar dipersoalkan
lagi mahupun ditentang.
Tindakan yang betul ialah untuk mempraktikkan keadilan di dalam semua
hal; dan tidak berat sebelah terhadap isu-isu mahupun individu tertentu
hanya untuk agenda sendiri. Bebanan untuk membuktikan kesalahan harus
dipikul oleh pihak yang membuat tuduhan; dan bukan sebaliknya.
Ketua Pegawai Eksekutif baharu 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang
dilantik pada Januari 2015 telah mengambil langkah ke arah penstrukturan
semula hutang dan rasionalisasi bagi menstabilkan syarikat tersebut.
Perancangan yang dibuat telahpun diluluskan oleh Jemaah Menteri pada Jun
2015. 1MDB juga telah memohon tempoh enam bulan untuk menyempurnakan
perancangan tersebut.
Setakat ini, penstrukturan semula dan rasionalisasi yang dilaksanakan
telah menampakkan keberhasilan, dan meletakkan 1MDB di persada yang
baik.
Kita wajar memfokuskan usaha untuk memperkukuhkan lagi 1MDB bagi
memastikan ia berupaya untuk membuat pembayaran hutangnya tanpa kerugian
kepada pembayar cukai.
Sebarang tuduhan salah laku perlu diteliti
menerusi tindakan yang berbeza iaitu penyiasatan dan pencarian bukti
yang kukuh; dan ia sedang dilaksanakan.
Persoalan terhadap asal usul dana di dalam akaun peribadi Perdana
Menteri telah dibuktikan bukan berasal daripada 1MDB. Dengan
terungkainya isu ini sudah tiba masa untuk rakyat Malaysia belayar ke
hadapan; dan menamatkan segala dakwaan.
Para penentang telah gagal di dalam usaha mereka untuk memaksa
nakhoda terjun dari kapal; malah menjadi semakin lesu. Sewajarnya semua
anak kapal kini bersatu di belakang nakhoda untuk menyelamatkan kapal
dan tidak membiarkannya tenggelam.
Kita sepatutnya menumpukan usaha untuk memastikan kesinambungan
“survival”, pembangunan dan kesejahteraan negara dan rakyat, serta
menyokong kepimpinan yang ada di dalam usaha mereka.
Oleh kerana ribut semakin reda dan lautan semakin aman, penentangan
terhadap nakhoda tidak perlu wujud. Selaku nakhoda, Najib wajar diberi
ruang untuk menguruskan negara ini, dan setelah itu untuk kita memberi
peluang kepada rakyat menilai pencapaian beliau sewaktu Pilihan Raya
Umum yang akan datang. Inilah amalan demokrasi sebenar.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment