Monday, April 18, 2016
#PRN Sarawak: Kerajaan Sarawak Adil Halang Kemasukan Mana-Mana Individu – Abang Johari
Kerajaan Sarawak sentiasa bersikap adil dalam
tindakannya menghalang mana-mana individu mahupun pemimpin parti politik
daripada memasuki negeri itu, kata Menteri Perumahan dan Pelancongan
Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata mana-mana individu yang disyaki mempunyai niat tidak
baik akan dihalang daripada masuk ke Sarawak, lebih-lebih lagi menjelang
musim Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 pada 7 Mei ini.
Katanya kerajaan sedar niat serta pandangan sesetengah mereka yang
agak ekstrem, boleh menimbulkan ‘kacau’ menjelang PRN, yang menyebabkan
kemasukan mereka dihalang untuk sementara waktu ini, namun selepas PRN
mereka boleh dibenarkan masuk ke Sarawak.
“Ini rumah kita ada pintu, kalau orang nak kacau keluarga kita, apa
nak buat, tentulah kita akan tutup pintu. Kalau ada pelawat yang berniat
baik baru kita buka pintu,” katanya kepada pemberita di Damai Central
di sini, Sabtu.
Abang Johari, yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera
Bersatu (PBB), berkata demikian sebagai respons terhadap tindakan
Sarawak menghalang Ketua UMNO Sungai Besar, Selangor, Datuk Jamal Yunos
tetapi membenarkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta penasihat
DAP, Lim Kit Siang untuk memasuki ke negeri itu.
“Kita adil kepada semua pihak tapi kita nak pertahan keamanan dan keharmonian kaum dan agama di Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata kekeliruan berhubung pembahagian
kerusi antara dua parti pembangkang iaitu DAP dan PKR pada PRN-11
adalah masalah serius sedang dihadapi Pakatan Harapan ketika ini.
“Dalam pilihan raya tentu ada persaingan, mereka ada masalah antara parti negeri dan parti pusat…ini masalah mereka,” katanya.
Semalam, DAP semasa mengumumkan yang ia akan bertanding di 29 kerusi
Dewan Undangan Negeri pada PRN-11 berkata, sekiranya PKR bertindak
melanggar persetujuan awal mengenai pembahagian kerusi, sudah pasti
pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment