Monday, April 18, 2016

#PRNSarawak : Sarawak Boleh Letak Nama Kaum

http://cdn.theborneopost.com/newsimages/2015/12/zahid.jpg
Bumiputera Sarawak kini boleh meletakkan nama kaum masing-masing dalam semua dokumen dan borang rasmi kerajaan selepas Kabinet meluluskan pemansuhan penggunaan perkataan ‘lain-lain’ bagi mengklasifikasikan mereka sebelum ini.

“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan dipersetujui oleh Jemaah Menteri yang berkuat kuasa serta-merta itu sebagai tanda menunjukkan Kerajaan Pusat sentiasa mengutamakan kehendak rakyat Sarawak.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, penggunaan perkataan ‘lain-lain’ dalam dokumen dan borang rasmi kerajaan bagi mengklasifikasikan bumiputera Sarawak tidak disukai oleh masyarakat negeri ini yang mempunyai etnik berbilang kaum.

“Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem bersama menteri-menteri Persekutuan dari Sarawak telah membangkitkan isu ini dan sebagai membuktikan kita dekat dengan rakyat Sarawak, maka Jemaah Menteri membuat keputusan meluluskan permohonan untuk memansuhkan perkataan itu.

“Sebelum ini, kita menggunakan istilah Melayu, Cina, India dan ‘lain-lain.’

Selepas ini, kita akan meletakkan semua kaum bumiputera di negeri ini seperti Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan sebagainya dalam semua dokumen rasmi serta borang kerajaan,” katanya dalam ucapan semasa menghadiri Program Sejiwa Senada 2016 di pekarangan majlis daerah Samarahan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Adenan dan isteri, Puan Sri Jamilah Anu; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Menteri Per­umahan dan Pelancongan ne­geri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg serta beberapa lagi menteri Kabinet negeri dan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pemansuhan penggunaan perkataan ‘lain-lain’ dalam dokumen dan borang rasmi kerajaan bertujuan mengelakkan rasa tersisih kaum bumiputera Sarawak, di samping menghargai mereka yang juga merupakan rakyat negara ini.

Beliau berkata, kementeriannya telah mengeluarkan arahan kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaf­taran Negara (JPN) dan Pengarah JPN Sarawak berhubung penguatkuasaan serta-merta keputusan tersebut.

Selain memenuhi tuntutan memansuhkan perkataan ‘lain-lain,’ beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan mencampuri hal ehwal negeri ini seperti kuasa imigresen dalam me­ngusir pendatang asing tanpa izin (PATI) atau menghalang kemasukan pekerja asing.

“Kementerian Dalam Negeri akan memberi sokongan kepada dasar yang dibuat oleh kerajaan negeri termasuk menghalang, menyekat dan menghantar semula PATI.

“Hal ini kerana kita yakin bahawa keputusan dibuat itu adalah untuk menjamin peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak. Sebab itu, Pengarah Imigresen yang dilantik di negeri ini mestilah merupakan orang tempatan,” ujarnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment