
Monday, April 18, 2016
#PRNSarawak : Program Pembekalan Komputer Riba Bantu Pelajar Di Sarawak Hadapi SPM - Najib

Kerajaan akan melaksanakan Program Pembekalan
Komputer Riba, program perintis kepada para pelajar di Sarawak yang akan
menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata program itu
bermatlamat bagi merapatkan jurang digital di samping memberi kemudahan
serta pendedahan berkaitan teknologi maklumat dengan lebih efisien.
Beliau berkata projek perintis itu akan memanfaatkan kira-kira 33,000
pelajar tingkatan lima di 188 sekolah menengah kebangsaan sekitar
Sarawak yang mana komputer riba itu akan diberikan dalam bentuk sewaan
atau pinjaman.
“Selepas tamat SPM, pelajar berkenaan akan menyerahkan komputer riba
itu kepada pelajar tingkatan lima seterusnya (tahun berikut).
Mudah-mudahan, projek ini akan dapat menyaksikan pencapaian yang lebih
cemerlang,” katanya di sini hari Ahad.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika melakukan tinjauan mesra ke
Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ladong di Sebuyau, kira-kira tiga jam
perjalanan dari Kuching yang turut disertai Menteri Pendidikan Datuk
Seri Mahdzir Khalid serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Dalam tinjauan tersebut, Najib turut menyentuh mengenai projek menaik
taraf sekolah yang pernah dikunjunginya pada awal tahun ini, yang
memerlukan peruntukan segera bagi menaik taraf kemudahan dan bangunan
sekolah yang usang.
“Sekolah ini memerlukan penambahbaikan segera kerana keadaan
bangunannya berbahaya untuk meneruskan pengajian. Kerajaan baru-baru ini
memutuskan untuk memberikan peruntukan segera kepada lapan sekolah di
Sarawak yang daif bagi tujuan membaik pulih, menyediakan bangunan baru
dan tambahan.
“Alhamdulillah, bagi SK Sungai Ladong ini telah disiapkan segera
dalam masa tujuh minggu sahaja. Sekolah ini dengan bangunan baru dan
makmal sains telah boleh digunakan,” katanya.
Perdana Menteri yang menyifatkan lawatannya ke sekolah itu sebagai
‘solution walkabout’ berkata ia bukan sahaja membolehkan beliau melihat
sendiri permasalahan secara terus, tetapi juga mencari jalan
penyelesaian segera melibatkan mana-mana pihak dan agensi berkaitan.
“Projek di sekolah ini adalah contoh yang baik hasil tindakan dan
kerjasama dari Kementerian Pendidikan serta kerajaan negeri yang mana
bangunan dan kelengkapan baru telah dapat disiapkan. Saya yakin pelajar
dapat menjalani proses pembelajaran dengan lebih kondusif khasnya demi
persediaan SPM nanti,” katanya.
Najib sewaktu lawatannya ke sekolah tersebut pada Januari lepas telah
memberi saranan peribadi supaya sekolah usang berusia 59 tahun itu
diberi nafas baru, dengan bangunan sedia ada dinaik taraf.
Susulan saranannya, dua blok bangunan konkrit setingkat yang
dilengkapi dengan enam bilik darjah baru telah siap dibina dalam tempoh
tujuh minggu sahaja, menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri
(IBS).
Sekolah baru itu kini dibina di atas tiang pertahanan (stilts) yang
lebih tinggi, dilengkapi enam bilik darjah tambahan, sebuah makmal
sains, dua kuarters guru baru dan kawasan rekreasi untuk memberikan
persekitaran yang kondusif kepada seramai 172 pelajar dan 19 guru.
Sebelum ini, sekolah berkenaan berada dalam keadaan usang akibat
usianya yang sudah lama dan hakisan, selain hanya mempunyai tujuh bilik
darjah sejak dibina pada 1957.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment