Friday, April 01, 2016
Protes Terhadap Uber Dan GrabCar... PM Kata Dasar Adil Saksama Akan Diumum
Kecoh mengenai protes pemandu teksi di Bukit Bintang Selasa lalu
terhadap kereta sewa Uber dan GrabCar telah mendapat perhatian Datuk
Seri Najib Tun Razak.
Dalam ulasan Perdana Menteri di laman blognya beliau kata satu
penyelesaian dan dasar yang adil dan saksama kepada semua pihak akan
diumumkan dalam masa terdekat.
Berikut ialah ulasan penuh Perdana Menteri mengenai isu itu:
Saya ada membaca laporan mengenai protes oleh pemandu teksi di Bukit Bintang baru-baru ini.
Pertama sekali, syabas dan tahniah kepada pihak Polis Diraja Malaysia
yang bertindak pantas dan profesional dengan mengawal keadaan trafik di
sana serta memberi peluang kepada pemandu teksi untuk bersurai terlebih
dahulu sebelum tindakan seterusnya diambil.
Saya faham dan prihatin terhadap masalah dan rungutan dalam kalangan
pemandu teksi disebabkan oleh penggunaan perkhidmatan pemandu kereta
Uber dan GrabCar di Malaysia yang dilihat mengganggu pendapatan mereka.
Keduanya, isu ini bukanlah eksklusif di Malaysia malah dihadapi dan sedang diteliti di banyak negara.
Sepertimana yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat,
Kerajaan sedang mengkaji dan meneliti cadangan-cadangan bagi menangani
dua isu pokok di sini iaitu pertamanya pendapatan dan kebajikan pemandu
teksi dan keduanya isu kereta sewa seperti Uber dan Grabcar yang
menggunakan aplikasi telefon pintar.
Terdapat pelbagai faktor yang Kerajaan perlu pertimbangkan dan
mengimbangi dalam hal ini seperti elemen inovasi, persaingan dan
sebagainya.
Dalam era serba canggih dan berinovasi ini, kita perlu bersedia untuk
menerima dan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi.
Persaingan mesti juga dilihat sebagai batu loncatan dan bukan halangan agar perkhidmatan terbaik dapat dinikmati oleh rakyat.
Biarpun begitu, Kerajaan tidak mengambil mana-mana pihak dalam hal ini.
Kepentingan kedua-dua pihak pengguna dan penyedia perkhidmatan sedia ada
tetap menjadi pertimbangan utama Kerajaan ketika rangka penyelesaian
dibincangkan dan disediakan.
Saya berharap tidak ada pihak yang bertindak mengikut emosi dan
mengambil langkah drastik lagi seperti protes di jalanan yang hanya akan
memudaratkan keadaan serta imej pihak tertentu dan tidak membawa
apa-apa kebaikan langsung, terutamanya bagi pengguna perkhidmatan teksi.
Satu penyelesaian dan dasar yang adil dan saksama kepada semua pihak akan diumumkan dalam masa terdekat.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment