Tuesday, March 10, 2015

Hayati Prinsip Rukun Negara Dari Peringkat Rendah Untuk Kunci Keharmonian, Perpaduan

11 Mac 2015, Kuala Lumpur : ‘Meluntur buluh biarlah dari rebungnya’ adalah pepatah paling tepat bagi membina dan melahirkan generasi yang benar-benar menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara, kata, Prof. Madya Dr. Mohd Sazili Shahibi.

“Ia boleh menjadi kunci kepada keharmonian dan perpaduan negara untuk masa-masa akan datang.

“Kita juga perlu lihat kepada peringkat pendidikan, sekiranya sekolah rendah, mungkin boleh ditekankan kepada perkara asas seperti menghafal prinsip-prinsip lima Rukun Negara, apabila di sekolah menengah, dikupas setiap prinsip, manakala di institusi pengajian tinggi awam pula, diperluaskan setiap skop kupasan, tanamkan sifat sayangi negara,” ujarnya ketika dihubungi UMNO-Online.

Beliau berkata demikian ketika mengulas antara intipati titah Yang Di Pertuan Agong semasa Majlis Pembukaan Parlimen Penggal Ketiga, Ketiga Belas pada 9 Mac 2015, yang menyentuh mengenai pentingnya penghayatan ke atas prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai sebuah Negara Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Menurut beliau yang juga Timbalan Dekan Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM, selain sistem pendidikan, media massa, jabatan-jabatan kerajaan dan ibu bapa juga mempunyai peranan yang amat penting di dalam usaha untuk membentuk masyarakat yang majmuk ini hidup dalam harmoni.

“Pengaruh media massa amat luas, seharusnya mereka bersama-sama mempergiatkan lagi usaha menanamkan sifat ke arah penghayatan lima prinsip ke dalam jiwa kumpulan sasaran mereka, dan seterusnya mampu melahirkan masyarakat yang berjiwa cintakan keharmonian,” tambahnya lagi.

Begitu juga dengan jabatan-jabatan kerajaan, perlu memperkasakan penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara ini kepada kakitangan awam dan memperbanyakkan program-program yang berkaitan dengan masyarakat,” katanya.

“Dan yang paling penting adalah, penghayatan dari ibu bapa itu sendiri kepada anak-anak, kerana pembelajaran pertama adalah dari rumah, mereka ini yang akan mewariskan negara ini dalam bagaimana acuannya, sama ada aman atau sebaliknya,” tegasnya.

Dalam titah Yang Di Pertuan Agong semalam, Baginda juga menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah dipatuhi dan tidak dipersoal manakala agama lain bebas diamalkan selain perlunya usaha memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. 

Dipetik daripada sumber : Media UMNO

No comments:

Post a Comment