Najib kemudian menaiki bas elektrik mengelilingi kawasan sekitar selama 30 minit.
Monday, June 01, 2015
BRT Satu Lembaran Baharu Pengangkutan Awam – Najib
2 Jun 2015, Kuala Lumpur : Pengangkutan awam menggunakan teknologi mesra
alam pertama negara, sistem Bas Rapid Transit Laluan Sunway (BRT-Laluan
Sunway) membuka lembaran baharu dalam perkhidmatan pengangkutan awam
negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sistem
pengangkutan BRT-Laluan Sunway yang dibangunkan Kumpulan Prasarana dan
Kumpulan Sunway itu merupakan projek pengangkutan awam yang mencapai
piawaian antarabangsa dan amat membanggakan negara.
“Projek ini memenuhi hasrat kerajaan untuk membangunkan sistem
pengangkutan awam yang efisien, boleh diharap dan selesa,” katanya
semasa merasmikan sistem BRT-Laluan Sunway di Kompleks BRT Sunway dekat
sini hari ini.
Najib turut melancarkan bas elektrik pertama pada majlis itu yang
dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai bas elektrik pertama
negara yang digunakan untuk sistem pengangkutan awam.
Beliau berkata apa yang dicapai hari ini merupakan teknologi pintar
dalam usaha mengurangkan kesesakan jalan raya dan pengurangan pelepasan
gas karbon.
Katanya bagi meningkatkan minat masyarakat menggunakan perkhidmatan
pengangkutan awam itu, tiada bayaran dikenakan mulai esok untuk tempoh
dua bulan.
Perdana menteri berkata sistem BRT-Laluan Sunway ini juga selaras
dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan lagi penggunaan teknologi
hijau dan gaya kehidupan baharu yang mesra alam dalam perkhidmatan
pengangkutan awam.
Najib turut memuji kaedah pelaksanaan projek BRT yang merupakan
kerjasama awam-swasta (PPP) antara Kumpulan Prasarana dengan Kumpulan
Sunway, dan berharap lebih banyak kerjasama dapat dilakukan dalam
memajukan pengangkutan awam negara.
Beliau berkata pelaksanaan sistem pengangkutan itu merupakan capaian
penting negara ke arah mengajak masyarakat menggunakan perkhidmatan
pengangkutan awam dengan lebih kerap dan mengurangkan penggunaan kereta
persendirian seperti dilakukan di negara maju.
“Ada sesetengah negara maju yang penduduknya menyimpan kenderaan di
‘country side’ dan menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana.
Kita juga boleh melakukannya jika mempunyai sistem pengangkutan awam
yang bersepadu dan masalah ini telah dikenal pasti kerajaan, ” katanya.
Beliau berkata untuk itu, sistem pengangkutan awam, khasnya di Lembah
Klang, perlu diselaraskan, dan BRT perlu diperluaskan di projek
pengangkutan awam yang lain.
Najib berkata kerajaan, tanpa ragu, telah meletakkan pembangunan
sistem pengangkutan awam sebagai satu daripada Bidang Keberhasilan Utama
Negara (NKRA) kerana sedar dan peka bahawa ia merupakan cabaran penting
dalam Pelan Transformasi negara.
“Kita letakkan pengangkutan awam dalam NKRA sebab selama ini kita
gagal wujudkan pengangkutan awam yang bersepadu. Oleh kerana itu, kita
wujudkan Kumpulan Prasarana dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
(SPAD) untuk melaraskan pengangkutan awam negara,” katanya.
Najib berkata kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM23 bilion untuk
pembinaan jajaran transit aliran massa (MRT) yang baharu bakal
menghubungkan Sungai Buloh ke Putrajaya.
Pada masa sama, kerajaan juga telah mengumumkan pembinaan jajaran
sistem transit aliran ringan (LRT) ketiga bernilai RM9 bilion bagi
menghubungkan Bandar Utama, Shah Alam dan Klang, katanya.
Najib kemudian menaiki bas elektrik mengelilingi kawasan sekitar selama 30 minit.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan Datuk
Seri Liow Tiong Lai, Pengerusi Kumpulan Prasarana Tan Sri Ismail Adam
dan Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Jeffrey Cheah.
Sistem BRT-Laluan Sunway menjadi perkhidmatan bas pertama menggunakan
‘elevated track’ atau laluan bertingkat sekali gus memastikan
perjalanan dapat dirancang hingga waktu terakhir.
Ia juga merupakan perkhidmatan bas awam henti-henti pertama yang
menggunakan bas elektrik sepenuhnya di negara ini. Kos pembinaan
infrastruktur dan sistem pengangkutan awam itu sebanyak RM634 juta.
Sistem BRT-Laluan Sunway yang meliputi laluan bertingkat sejauh 5.4
kilometer itu menempatkan tujuh buah stesen dari Sunway-Setia Jaya
sehingga USJ7, Subang Jaya, dan akan dihubungkan ke stesen Komuter
Keretapi Tanah Melayu Setia Jaya dan sistem LRT yang sedang dibina di
USJ 7 yang akan dibuka tahun depan.
Sementara itu Ismail dalam ucapan alu-aluannya berkata BRT-Sunway
Line akan beroperasi mulai esok di tujuh stesen iaitu Sunway-Setia Jaya,
Mentari, Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash, South Quay dengan USJ7
sebagai stesen terakhir dengan kemudahan ‘park and ride’ turut
disediakan.
Katanya 15 bas mesra alam akan digunakan dengan setiap bas boleh
memuatkan 67 orang, termasuk penumpang berdiri, pada satu-satu masa.
Beliau berkata BRT-Sunway Line akan memberi perkhidmatan kepada 500,000 penduduk di Bandar Sunway dan Subang Jaya.
Ismail berkata dijangkakan 2,400 penumpang setiap jam akan
menggunakan perkhidmatan itu tahun ini dan jumlah itu diramalkan
meningkatkan kepada 5,200 orang pada tahun 2035.
Dipetik daripada sumber : Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment