Thursday, June 11, 2015
Guan Eng Desak Wakil Pas Letak Jawatan Kerana Kecewa Dan Malu Sendiri
8 Jun 2015, Kuala Lumpur : Bekas Setiausaha Pas Negeri Selangor, Ustaz
Norman Toha berkata, tindakan Lim Guan Eng yang meminta wakil Pas di
dalam kerajaan negeri Pulau Pinang meletakkan jawatan merupakan tindak
balas untuk menutup malu dirinya sendiri apabila kepimpinan Pas yang pro
kepada Dap kalah teruk dalam pemilihan yang berlangsung pada muktamar
parti tersebut baru-baru ini.
Katanya, Lim Guan Eng mungkin sudah putus harapan dan kecewa dengan
kepimpinan baru Pas yang jelas tidak lagi boleh diperkotak-katikkan oleh
Dap sepertimana kepimpinan Pas pusat sebelum ini.
“Saya berpandangan desakan Guan Eng supaya wakil Pas dalam kerajaan
negeri Pulau Pinang agar meletakkan jawatan adalah akibat rasa malu
beliau ekoran kegagalan misinya untuk mempengaruhi akar umbi Pas
memberikan kemenangan kepada saf kepimpinan yang beliau mahukan.
“Kita semua sudah sedia maklum bahawa kepimpinan Dap cuba memainkan
peranan dalam pemilihan muktamar baru-baru ini, berdasarkan kepada
kenyataan dan ucapannya yang seolah-olah membantu kempen barisan
kepimpinan yang pro Dap di dalam pemilihan kali ini.
“Dan ekoran kegagalan dan kekalahan yang teruk barisan kepimpinan Pas
yang menjadi pilihan Dap, maka atas dasar kecewa dan malu sendiri maka
Guan Eng mendesak wakil Pas di Pulau Pinang untuk meletakkan jawatan
sebagai satu hukuman atau balas dendam terhadap Pas ekoran keputusan
pemilihan yang memihak kepada golongan pro ulama,” jelasnya kepada
UMNO-Online di sini hari ini.
Sementara itu, di dalam perkembangan terbaru berhubung ketetapan Pas
yang tetap mahu bersama Pakatan Pembangkang, beliau menjangkakan ada
kemungkinan Dap yang tidak akan bertahan lama di dalam pakatan tersebut.
“Jika Pas terus berkeras mahu kekal di dalam Pakatan Pembangkang,
tidak mustahil Dap yang akan mengambil tindakan untuk keluar dari
pakatan. Ini berdasarkan sejarah yang pernah berlaku pada tahun 2003 di
mana Dap akhirnya mengambil keputusan untuk keluar daripada Barisan
Alternatif kerana tidak setuju dengan matlamat Negara Islam Pas.
“Ini kita boleh lihat dengan kenyataan dari kepimpinan Dap yang
seolah-olah menganggap mereka mampu untuk mendapat sokongan rakyat,
khususnya bangsa Melayu tanpa bantuan daripada Pas sekali pun.
“Dan berdasarkan itu adalah tidak mustahil sejarah 2003 itu boleh
berulang kembali. Ini memandangkan pendirian PKR terhadap Pas masih lagi
samar-samar dan ada kemungkinan besar PKR akan tetap menjalinkan
hubungan dengan Pas untuk survival politik mereka, sekiranya Dap
mengambil keputusan keluar dari pakatan pembangkang,” ujarnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment