Thursday, June 11, 2015
Tak Perlu Layan Politik Murahan…Cubaan Lagakan Pemimpin Usaha Sia-sia
8 Jun 2015, Kuala Lumpur : Tidak perlu mengamalkan politik murahan, ujar
Ketua Puteri UMNO Negeri Melaka, Azlieza Azlizan apabila wujud
segelintir pihak sengaja melaga-lagakan pemimpin kerajaan dengan
pelbagai isu yang sebenarnya tiada kesahihannya.
Menurut beliau, UMNO dan Barisan Nasional (BN) terbina atas
perpaduan, kesatuan serta kesedaran yang tinggi untuk memberi khidmat
kepada rakyat dan bukannya tertubuh disebabkan kepentingan individu atau
kekecewaan seperti parti pembangkang.
“Tegur-menegur, nasihat-menasihati yang diamalkan di dalam parti demi
kelangsungan kerjasama yang baik itu perkara biasa, tetapi bukan
bermakna untuk memecah-belahkan parti.
“Bahkan jika dilihat, pihak pembangkang sendiri pun tidak ada kata
sepakat di kalangan mereka malah lebih serius permasalahan yang dihadapi
di antara pucuk pimpinan parti pembangkang tetapi mereka mengalihkan
isu parti mereka dengan membuat kenyataan-kenyataan yang seolah-olah
menampakkan kelemahan hanya pada UMNO dan BN,” katanya kepada
UMNO-Online.
Sehubungan itu, semangat solidariti antara kepimpinan kerajaan perlu
kuat dan segala permasalahan serta isu yang ditimbulkan akan
diselesaikan dengan cara yang terbaik iaitu bermusyawarah.
“Umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus, tepung
tidak berserak. Rekod pentadbiran juga sebagai bukti, pelbagai isu yang
timbul sama ada yang dicetuskan oleh pihak pembangkang mahupun dalaman
berjaya ditangani dengan baik.
“Sebab itu saya melihat, usaha segelintir pihak untuk melaga-lagakan
kepimpinan BN pasti tidak akan tercapai. Ini tidak lain dan tidak bukan
kerana kita ada semangat solidariti yang terpahat di dalam jati diri.
“Justeru itu, kepada mereka yang berkenaan, usahlah melakukan usaha
yang sia-sia itu kerana pasti anda akan kecewa akhirnya apabila melihat
BN tetap utuh di negara ini,” ujar Pengerusi Tetap Puteri UMNO Malaysia
itu lagi.
Walaupun begitu, beliau mengingatkan kepada semua pihak dalam BN agar
tetap bersatu padu, berganding bahu dengan tidak mengambil mudah modus
operandi golongan terbabit yang pantas mengambil peluang atas isu-isu
yang ditimbulkan.
“Yang pasti, mereka ini tidak akan berpeluk tubuh, terus memanipulasi
isu dan mengelirukan rakyat dengan mempotretkan kerajaan dari sisi
negatif.
“Dan seterusnya memerangkap kita dengan hasrat melaga-lagakan
kepimpinan BN yang dilihat sebagai salah satu usaha terakhir mereka
untuk melemahkan kerajaan,” tegasnya.
Sehubungan itu, kepimpinan BN perlulah berhati-hati dengan sebarang
isu kerana ia sebenarnya hanyalah untuk mengalih perhatian rakyat serta
menutup kelemahan pihak pembangkang itu sendiri, ujar Ketua Puteri UMNO
Bahagian Tangga Batu itu lagi.
Tanpa melayan kerenah segelintir pihak yang suka mencari kesalahan,
beliau yakin kepimpinan BN perlu terus memandang ke hadapan, mengurus
dan membina negara demi kepentingan dan kebajikan rakyat khususnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment