Monday, June 01, 2015
Kabinet Bayangan Pembangkang Hanya Satu Cerita Penglipur Lara Yang Tidak Berkesudahan
2 Jun 2015, Kluang : Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Datuk Khairul
Anwar Rahmat berkata, pembangkang harus buktikan bahawa mereka boleh
mencapai kata sepakat di dalam perjuangan politik sebelum sibuk mengatur
kabinet bayangan yang tidak berkesudahan.
Jelasnya, konsep perkongsian kuasa pun tidak mampu difahami dan
diterapkan dalam pakatan pembangkang, jadi bagaimana mereka mahu
membentangkan sebuah kabinet bayangan yang baik.
“Apa yang mereka bentangkan hanyalah sebuah kebinet bayangan syok sendiri yang penuh dengan kroni dan anak-beranak.
“Mereka tidak mampu untuk menjadi seperti Barisan Nasional (BN) yang
berkonsepkan perkongsian kuasa di mana UMNO menerajui dan komponen
melengkapi. Ini jauh berbeza dengan pakatan pembangkang yang semuanya
mahu menerajui sehinggakan masing-masing mengemukakan senarai kebinet
bayangan sendiri.
“Sudah jelas mereka tidak berbincang dan tidak sepakat. Jadi ini
semua hanyalah sebuah cerita penglipur lara yang kononnya mereka ini
sangat komited dan ingin memperbodohkan rakyat,” ujarnya kepada
UMNO-Online.
Tambah Khairul, sekiranya rakyat terpedaya dan memilih mereka ini
sebagai pemerintah maka tidak mustahil negara akan musnah kerana telah
terbukti perkara pokok pun tidak mampu mereka selesaikan, inikan pula
mahu mentadbir negara.
“Mereka ini sebenarnya tidak berpijak di bumi nyata… Syok sendiri.
Amat jauh jika hendak dibandingkan dengan BN yang memilih barisan
kabinet berdasarkan kelayakan, komitmen dan sebagainya. Bukan hanya
tangkap muat seperti pembangkang.
“Oleh itu, saya amat berharap agar rakyat janganlah percaya kepada
pembangkang. Jika benar mereka layak, cabar pakatan pembangkang untuk
daftarkan penyatuan mereka serta buktikan mereka mempunyai satu
perjuangan.
“Sekarang pun telah terbukti mereka tidak sepakat. Bertelagah macam
anjing dengan kucing. Si A mencari salah si B, dan si B mencari salah si
A. Adakah ini yang kita mahu? Tepuk dada tanya selera,” katanya lagi.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment