Thursday, June 11, 2015
Kemelut Pas – Dap Umpama “Buntut Kuali Mengata Buntut Belanga Hitam”
10 Jun 2015, Kuala Lumpur : Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu,
Datuk Dr Najmil Faiz Mohd Aris berkata, drama perang mulut antara Pas
dan Dap yang tidak berkesudahan sehingga ke hari ini bolehlah
diumpamakan seperti pepatah Melayu buntut kuali mengatakan buntut
belanga hitam.
Jelasnya, pepatah itu membawa maksud bahawa orang yang memburukkan
orang lain, sedangkan ia sendiri pun buruk juga amat tepat dengan
kemelut yang berlaku antara Dap dan Pas hari ini.
“Kita lihat hari ini Dap menghentam dengan pelbagai tuduhan buruk
bagaikan mereka tidak ada cacat celanya, sedangkan Dap sendiri
bergelumang dengan pelbagai isu seperti nepotisme dan kronisme yang
berlaku di dalam parti tersebut.
“Begitu juga halnya dengan Pas yang bersikap main tarik tali dalam
konflik mereka bersama Dap. Hari ini mereka kata mahu putuskan hubungan
dengan Dap, tetapi esoknya lain pula kenyataannya.
Kita lihat Pas
seolah-olah tidak tetap pendirian. Merek menghentam Dap tetapi dalam
masa yang sama mereka masih lagi bermain tarik tali dalam isu ini.
“Drama Pas dan Dap bagaikan drama kanak-kanak kecil yang bergaduh.
Pas apabila dihentam dengan Dap, merajuk buat kenyataan nak keluar dari
pakatan, tetapi sehingga hari ini masih kekal dalam pakatan.
“Dap pula tak habis-habis menghalau Pas supaya segera keluar dari
pakatan. Kata mereka dulu, mahu berkhidmat untuk rakyat, tapi hari ini
kita lihat mereka lebih berpolitik sesama sendiri demi kuasa dan
survival parti mereka,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Tambahnya, kemelut yang tidak sudah-sudah antara Pas dan Dap ini
bukan baru, malah ianya berlaku sejak pembangkang mengambil keputusan
untuk menubuhkan Barisan Alternatif pada tahun 1990 sebelum ini.
“Contohnya hari ini, konflik antara Pas dan Dap buatkan pakatan
pembangkang jadi caca merba dalam soal hubungan antara parti. Contohnya
di Kedah, Dap tak tolak Pas. Manakala di Pulau Pinang, Dap pula halau
Pas.
“Di Perak, Sarawak dan Sabah, Dap menolak kerjasama dengan Pas tetapi
di Johor, Dap boleh buat kenyataan mahu jalinkan kerjasama dengan
UMNO untuk pentadbiran baru. Berdasarkan senario ini, kita boleh lihat
semuanya jadi caca merba dan sudah pasti, ianya memberikan kesan
terhadap rakyat,” ujarnya.
Justeru itu, dengan apa yang berlaku hari ini kata Najmil, rakyat
perlu menilai sejauh mana kejujuran parti pembangkang untuk berkhidmat
membela rakyat di negara ini.
“Dulu mereka kata, pakatan pembangkang akan berkhidmat untuk rakyat,
membantu rakyat yang kononnya ditindas dan dizalimi oleh BN. Tetapi
hari ini jelas, mereka bukannya benar-benar mahu membantu rakyat, tetapi
mempergunakan rakyat untuk kedudukan inidividu dan parti masing-masing.
“Sebab itu kita boleh lihat mereka bercakaran sesama sendiri hari
ini. Mereka lebih pentingkan survival kedudukan individu dan parti
sehingga antara mereka sendiri berpecah belah dan sudah tentu perkara
ini akan membuatkan kebajikan rakyat akan terjejas dan terabai,”
tegasnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment