Wednesday, June 03, 2015
Kerajaan Tidak Sekali-Kali Benarkan Ekstremis Agama Cetus Konflik Kaum – Najib
2 Jun 2015, Kuala Lumpur : Kerajaan tidak sekali-kali membenarkan ekstremis dalam
mana-mana agama mencetuskan konflik perkauman di negara ini, kata
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata sesetengah orang mengguna dan menyalahguna agama untuk mencapai matlamat mereka.
“Itu yang perlu kita hadapi, tangani dan tolak secara total,” kata
beliau dalam ucapannya pada Majlis Jamuan Perdamaian dan Harmoni
Kebangsaan sempena pelancaran Christian for Peace and Harmony in
Malaysia Movement (CPHM) (Gerakan Kristian untuk Perdamaian dan Harmoni
di Malaysia) di sini malam ini.
Najib berkata ruang demokrasi mesti disediakan dalam negara tetapi
perlu ada had untuk itu dan proses itu mestilah secara sihat dan ia
tidak harus membawa kepada konflik.
CPHM merupakan gerakan akar umbi yang diasaskan oleh sekumpulan
pemimpin Kristian yang prihatin untuk memupuk suasana saling
menghormati, bertoleransi dan menerima antara warganegara dari pelbagai
latarbelakang etnik dan agama menerusi pemupukan perdamaian dan harmoni
dalam negara.
Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia negara aman, ‘suhu’ boleh naik mendadak.
Najib berkata kadang kala wujud masalah yang tidak perlu diselesaikan
menerusi proses perundangan, tetapi perbincangan dengan hati terbuka.
Beliau berkata Malaysia tidak saja ingin membina sebuah negara maju
sepenuhnya tetapi juga mempunyai masyarakat yang saling memahami dengan
ikatan kemanusiaan yang kukuh.
“Kerana itu kita Kristian, Hindu, Buddha atau Muslim perlu
bekerjasama untuk (membina) Malaysia yang lebih cemerlang,” kata beliau.
Sementara itu, pengerusi CPHM Wong Kim Kong berkata pihaknya membawa
mesej perdamaian dan akan berusaha menggalakkan seluruh warganegara
menyahut seruan memupuk perdamaian dan harmoni di kalangan semua rakyat
di negara ini.
“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana menaruh minat
mendalam menyokong inisiatif dan mesej kami dengan menghadiri dan
merasmikan Majlis Jamuan Perdamaian dan Harmoni Kebangsaan kami yang
pertama ini,” kata beliau.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment