Wednesday, June 03, 2015
Lebuh Raya Rakyat : Apa Status Wang Sumbangan Rakyat Yang Dikumpulkan?
3 Jun 2015, Gua Musang : Naib Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Ab Aziz
Yusoff berkata, sudah tiga tahun berlalu sejak majlis pecah tanah
pembinaan lebuhraya rakyat yang menghubungkan Kota Bharu dan Kuala Krai
dirasmikan oleh bekas MB Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat,
namun sehingga kini masih menjadi persoalan malah terbaru ada pula
ura-ura pembinaan ini bakal diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya terdapat laporan bahawa pembinaan ini bakal diserahkan
kepada kerajaan pusat memandangkan kerajaan negeri memang tidak
berkeupayaan untuk melaksanakannya namun timbul persoalan lain iaitu
berkaitan dana pembiayaannya yang sebelum ini adalah hasil daripada
sumbangan rakyat.
“Sebenarnya, pengumuman pembinaan lebuhraya rakyat ini dahulu adalah
hanya kerana mahu meraih undi. Kononnya ketika itu Kerajaan Persekutuan
tidak mahu buat jadi kerajaan negeri akan laksanakan demi kesenangan
rakyat negeri itu untuk pulang ke kampung.
“Alasan yang diberikan memang menarik tetapi ramai yang mengetahui
akan ketidakupayaan kerajaan negeri Kelantan. Namun sayangnya kerana
taksub kepada parti, mereka tetap percaya bahawa angan-angan akan
menjadi kenyataan”, katanya kepada UMNO-Online di sini.
Malah jelasbeliau lagi jika dilihat daripada sejarah pula, selama Pas
mentadbir Kelantan lebih daripada 22 tahun, hanya sebuah masjid yang
mampu dibina sehinggakan pembinaan lain termasuklah penyelenggaraan
jalan raya semuanya adalah hasil daripada bantuan Kerajaan Persekutuan
Barisan Nasional (BN).
“Kenyataan ini tidak mungkin dapat disanggah oleh kepimpinan Pas kerana ia adalah satu fakta dan bukan auta,” ujarnya .
Exco Kerajaan Negeri, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan
Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Abdul Fatah Harun pernah
mengesahkan perkara ini iaitu Kerajaan Pas Kelantan hanya membina sebuah
masjid sahaja sejak pentadbiran pada tahun 1990 sehingga kini.
Bayangkan jika selama lebih 22 tahun memerintah Kelantan, Pas hanya
mampu membina sebuah masjid sahaja iaitu Masjid China selain masjid itu,
Abdul Fatah mengaku bahawa semua masjid lain dibina oleh BN.
Kini yang menjadi persoalannya adalah status wang sumbangan rakyat
untuk pembinaan lebuh raya tersebut, di manakah ianya berada dan
berapakah jumlah kutipan yang berjaya dikumpulkan?
Aziz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas,
mencabar kepimpinan kerajaan negeri Kelantan untuk memberi pencerahan
terhadap isu ini.
“Adakah wang tersebut akan terus terkubur bersama-sama projek
pembinaan lebuhraya ini tanpa sebarang jawapan? Siapa yang mampu
menjawabnya… saya tidak mahu menyebut siapa yang menguruskan hal ehwal
kewangan ini dahulu tetapi saya rasa ramai yang mengetahui.
“Saya harap ada pihak yang berani untuk menjawab segala pesoalan ini
sebagaimana mereka seringkali mendesak kerajaan pusat menjawab isu
tentang kewangan 1MDB,” katanya lagi.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment