Wednesday, June 03, 2015

Mampukah Ulama Tutup ‘Celupar’ Mat Sabu, Nizar?

EDITOR MENULIS...
3 JUN 2015

Bersungguh benar ahli jawatankuasa Pas Pusat (AJK), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahu menggulingkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
https://pbs.twimg.com/profile_images/2160660856/image_400x400.jpg
Macam tidak ada jasa langsung Presiden Pas itu. Kalau cuma dua tahun macam Carlo Ancelotti yang gagal memimpin kelab Sepanyol, Real Madrid ke puncak, tidak apalah disingkirkan. Ini 13 tahun Abdul Hadi memimpin Pas. Tidak patut sungguh perkataan dan ayat yang keluar daripada mulut Mohammad Nizar, apalagi timbalan kepada Abdul Hadi sendiri, Mohamad Sabu atau Mat Sabu – yang mengherdik Presiden itu.

Perseteruan Mat Sabu dengan Abdul Hadi bukan benda baharu. Ia sudah lama berlaku. 

Antara rentetannya termasuklah apabila Mat Sabu bersetuju dengan pakatan pembangkang untuk hanya mencalonkan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tempoh hari. 

Ini bertentangan sungguh dengan keputusan Abdul Hadi yang mahu Abdul Khalid kekal, selain kepimpinan Pas turut menamakan Mohamed Azmin Ali.

Dan memang mengejutkan ahli-ahli Pas lah andai benar Mat Sabu secara terbuka menyindir Abdul Hadi. Dengan membabitkan kekalahan Terengganu yang terlepas dari penguasaan Pas di tangan Abdul Hadi, Mat Sabu dikatakan mengingatkan Pas agar jangan angkuh kerana kenikmatan yang diperoleh parti itu waktu ini adalah hasil dari bersama pakatan.

Memang panas apabila timbalan berlaga dengan Presiden. Daripada sebuah parti yang tercermin Islamnya ke parti yang tidak nampak cahaya Islamnya dek kerana berebut hal-hal dunia – jawatan parti.

Bagi Mohammad Nizar pula, ‘luka’ yang dialaminya akibat kalah dalam perebutan jawatan Yang Dipertua Pas kawasan Kampar baru-baru ini nampaknya masih belum sembuh.

Terpana seketika bekas Menteri Besar ‘kerajaan DAP’ Perak itu kerana kalah di tangan seorang ustaz. Mohammad Nizar pastinya tersentak dengan penangan golongan ulama dalam Pas, yang barangkali dipandang remeh hanya kerana keba­nyakan ustaz dan ulama dalam Pas kurang fasih berbahasa Inggeris.

Namun, ulama dalam Pas jangan pandang ringan. Kumpulan ulama parti itu pernah ‘disisihkan’ sehingga menyaksikan dua wakil kumpulan ulama iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (sekarang Naib Presiden) dan Nasharuddin Mat Isa (bekas timbalan presiden) gagal meraih sokongan perwakilan untuk jawatan nombor dua parti.

Nasib sama juga menimpa semasa pemilihan parti 2013 apabila kumpulan ulama semakin hilang pengaruhnya dalam parti apabila Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah daripada kumpulan itu tewas kepada Mat Sabu untuk jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti.

Baik Mat Sabu, mahupun Mohammad Nizar, anda jangan ‘celupar’ dengan ulama Pas.

Cuma, Khamis ini adakah penangan ulama ini benar-benar dirasai oleh anda berdua?

‘Terajang’ ini termasuklah ke atas beberapa orang lagi, antaranya AJK Pas, Khalid Samad dan Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang juga bekas timbalan pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Disediakan oleh : 
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgSI-ooHmHkZzsfcfIFf8wfj-aKCCBtq35Mq6rjZR1LeAdMt-aERslAmAQCKm5YsI42zPCZ_WkbvsOC4LMzJNTHquTvW832prf0E0Ntv18uQQJX5UUnrIJrw4PI_5Qq0XZyvS9ZyCjkBFX4/s1600/Debat+01.jpg
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment