Thursday, June 11, 2015
Pas Sepatutnya Sudah Keluar Dari Pakatan, Jangan Dolak Dalih – Hassan Basri
9 Jun 2015, Kuala Lumpur : Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Ustaz
Hassan Basri menegaskan bahawa Pas sepatutnya sudah keluar dari pakatan
pembangkang memandangkan usul untuk memutuskan hubungan dengan Dap sudah
diterima tanpa bahas dan secara sebulat suara di dalam muktamar Pas
baru-baru ini.
Menurut beliau, usul tersebut merupakan satu keputusan rasmi kerana
perhimpunan agung merupakan kuasa tertinggi dan sebarang keputusan yang
diputuskan melalui muktamar adalah keputusan rasmi yang perlu
dilaksanakan oleh parti tersebut.
“Jadi bagi saya tidak ada alasan bagi Pas lagi untuk berdolak dalik
dengan alasan mahu kaji lagi dan sebagainya. Apa yang telah diputuskan
di dalam muktamar merupakan satu keputusan rasmi yang dipersetujui
bersama.
“Sehubungan itu, apa yang perlu Pas lakukan hari ini ialah
mengumumkan secara rasmi bahawa parti tersebut keluar dari pakatan serta
kepimpinan Pas yang memegang jawatan perlulah meletakkan jawatan
selaras dengan usul memutuskan hubungan dengan Dap yang telah diputuskan
di dalam muktamar baru-baru ini,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini
hari ini.
Tambah
Hassan, sebab itu hari ini serangan-serangan provokasi Dap mendesak
ahli Pas untuk meletakkan jawatan semakin menjadi kerana mereka
benar-benar mahukan Pas keluar dari pakatan tersebut.
“Dap sejak dari dulu memang tidak pernah bersetuju dengan Pas. Ini
hakikatnya. Jadi dalam hal ini, apabila Pas bersetuju memutuskan
hubungan dengan Dap dalam muktamar baru-baru ini, maka sudah tentulah
kepimpinan Dap tidak teragak-agak untuk terus menyerang Pas agar parti
itu segera keluar dari pakatan.
“Sebab itu kita lihat pelbagai kenyataan provokasi serta desakan
kepada ahli-ahli Pas yang memegang jawatan di negeri pembangkang supaya
meletakkan jawatan. Dan yang terbaru, kenyataan Datuk Teng Chang Khim
yang berkata bahawa Pas dan Dap sudah bercerai talak tiga, mana mungkin
boleh tidur sebantal.
“Biarpun begitu, namun saya lihat ada juga kenyataan daripada
sebahagian kepimpinan Pas seolah-olah mereka masih sayangkan Dap. Saya
kira, jika mereka terus berdolak dalih berhubung isu ini atau melakukan
‘u-turn’ maka maruah parti, terutamanya dewan ulama Pas akan tercalar
dan dianggap tidak mempunyai pendirian,”ujarnya.
Bagaimanapun kata beliau, perkara ini menjadi satu masalah
berdasarkan kenyataan Mahfuz di mana mana-mana ahli Pas yang memegang
jawatan di dalam negeri akan kehilangan elaun masing-masing sekiranya
mereka meletakkan jawatan yang dipegang.
“Dalam hal ini saya nak tanya kepada ahli Pas, apakah mereka lebih
mementingkan elaun daripada prinsip perjuangan yang didokong oleh mereka
selama ini? Apakah mereka mementing wang ringgit lebih daripada maruah
diri dan perjuangan mereka?
“Jika Pas terus bersama Dap dan pakatan kerana bimbang kehilangan
elaun, maka jelaslah bahawa perjuangan Pas hari ini lebih mementingkan
wang ringgit dan habuan dunia daripada prinsip dan maruah parti mereka
sendiri,” tegasnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment