Monday, June 01, 2015

Pemimpin Pas Bertuan DAP Bukan Fitnah, Malah Ianya Memang Wujud – Hafiz Nordin

1 Jun 2015, Kuala Lumpur : Bekas Ketua Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang, Ustaz Hafiz Nordin menafikan dakwaan wujudnya kepimpinan Pas yang bertuankan Dap adalah satu fitnah, malah katanya perkara itu benar-benar wujud di mana majoriti mereka adalah terdiri daripada kepimpinan tertinggi Pas pusat itu sendiri.

Menurut beliau, hari ini boleh dikatakan lebih daripada separuh pemimpin yang memegang jawatan AJK Pas Pusat lebih cenderung berkiblatkan kepada Dap berbanding meletakkan taat setia mereka kepada perjuangan parti dan Presidennya.

“Ya, memang wujud di dalam Pas pemimpin-pemimpin yang lebih cenderung kepada kehendak Dap. Malah, pemimpin-pemimpin tersebut kini duduk di dalam AJK Pas pusat yang menjadi penentu kepada segala keputusan parti.
kit siang+ hadi 
“Ini termasuklah Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu itu sendiri. Sebab itu kita lihat, kenyataan beliau amat mirip sepertimana kenyataan-kenyataan pemimpin Dap, khususnya berhubung serangan-serangan terhadap Tuan Guru Haji Hadi Awang sebagai Presiden.

“Apa yang saya katakan ini adalah berdasarkan daripada kenyataan-kenyataan mereka sendiri. Kita boleh lihat kenyataan Mat Sabu yang lebih berpihak kepada Dap. Beliau bukan sahaja langsung tidak mempertahankan Presiden apabila di serang oleh kepimpinan Dap, malah menambah rencah ratus sebagai penyedap dan memperkukuhkan lagi serangan Dap kepada Presidennya sendiri,” tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Ujarnya, kenyataan yang mendakwa perkara itu hanyalah fitnah bagi beliau adalah semata-mata untuk menimbul kekeliruan di kalangan perwakilan untuk menutup kencederungan majoriti kepimpinan atasan Pas yang pro kepada Dap.

“Nak kata fitnah apa lagi? Perkara ini bagaikan pepatah, sudah terang lagi bersuluh. Tidak ada apa lagi yang nak disorokkan kepada umum, khususnya kepada ahli dan penyokong Pas itu sendiri. Malah, kita sendiri dapat baca dan menilai mana-mana pemimpin yang pro kepada Dap berdasarkan kenyataan mereka itu sendiri,” jelasnya.

Seterusnya, beliau turut menasihati para perwakilan Pas pada muktamar kali ini agar memilih kepimpinan yang tetap istiqamah dalam perjuangan menegakkan Islam dan bukannya menjadi boneka kepada individu atau parti tertentu khususnya Dap.

“Sekiranya perwakilan Pas sayangkan perjuangan Islam yang menjadi asas tertubuhnya Pas, maka tolaklah calon-calon yang kita ketahui pro kepada Dap. Saya cadangkan kepada perwakilan agar buat sikit homework supaya tidak memilih calon yang salah.

“Sekiranya kita tersilap pilih pemimpin yang lebih cenderung kepada Dap, yang kita tahu dengan jelas akan membantah dan membangkang secara terang-terang apa juga pelaksanaan agenda Islam di negara ini, bermakna kita sendiri telah mengkhianati perjuangan dan titik peluh pengasas parti ini yang tujuannya hanya satu, iaitu menegakkan syiar dan undang-undang Islam di negara ini,” akhiri beliau.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment