Wednesday, June 03, 2015

Pulangan Hasil Pelaburan 1MDB Tidak Dapat Diraih Sekelip Mata, Kata Ahmad Husni

3 Jun 2015, Kuala Lumpur : Pulangan daripada hasil pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam aset-aset tenaga serta tanahnya akan memakan masa untuk dinikmati berikutan status projek-projek berkenaan yang bersifat jangka panjang, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
http://www.nasionalis.my/wp-content/uploads/2015/04/ahmad-husni.jpg
Bagaimanapun, tegasnya, media sebaliknya terlalu banyak memberi tumpuan terhadap aspek hutang yang dikumpul oleh syarikat pelaburan strategik Negara berkenaan iaitu sebanyak RM42 bilion.

“Jumlah RM42 bilion tersebut perlu dilihat bukan dalam konteks hutang semata-mata tetapi juga aset-aset, kos kewangan dan dana pemegang saham,” katanya menerusi program Dialog Khas ‘1MDB: Dimana Wangnya’ yang disiarkan di saluran TV1 di sini, malam ini.

Ahmad Husni turut menafikan dakwaan serta spekulasi dilontarkan pelbagai pihak bahawa RM27 bilion daripada sejumlah RM42 bilion telah ‘hilang’ atau ‘lesap’ sedangkan wang berkenaan telah digunakan dalam bentuk pembelian aset oleh syarikat itu.

“Bila ada pihak yang mendakwa RM27 bilion telah hilang, bank akan panik dan minta cepat bayar hutang,” katanya.

Terdahulu, 1MDB dalam satu kenyataan hari ini berkata segala maklumat mengenai penggunaan hutang itu telah dilaporkan dalam akaun awam dan diaudit dari 31 Mac 2010 hingga 31 Mac, 2014.

Hutang itu digunakan untuk membeli aset-aset tenaga dan tanah, perbelanjaan kewangan, deposit dalam dana pelaburan dan meninggalkan lebihan tunai sebanyak RM0.9 bilion, kesemuanya berjumlah RM41.8 bilion.

Ahmad Husni menjelaskan, 1MDB yang mempunyai modal berbayar sebanyak RM1 juta telah mengalami pertumbuhan yang pantas dalam tempoh enam tahun.

Ia juga, katanya, memiliki sejumlah 560 ekar tanah namun lambat memberi pulangan yang menjadikanya bergantung kepada pinjaman hutang.

Beliau berkata penyenaraian Edra Energy di Bursa Malaysia pula tertangguh kerana kelewatan penyata kewangan disiapkan sehingga memaksa pelaksanaan pelan rasionalisasi yang melibatkan penjualan kepentingan dalam pemilikan aset-asetnya.

“Banyak pihak yang menunjukkan minat untuk membeli aset-aset tenaga 1MDB,” katanya.

Mengulas mengenai laporan portal yang mangaitkan pembabitan individu bernama Jho Low dalam kemelut 1MDB, Ahmad Husni berkata individu tersebut tidak perlu ‘diglamorkan’ berikutan tiada pengesahan berhubung pembabitan beliau.

“Setakat ini, tidak ada pengesahan mengenai transaksi dengan Jho Low kerana PetroSaudi, syarikat kerjasama dengan 1MDB, telah membuat laporan polis di London menyatakan laporan portal itu tidak betul,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata pelaburan 1MDB dalam PetroSaudi adalah atas dasar ‘perkongsian strategik’ yang mana Prasarana Malaysia Bhd telah dilantik untuk mengendalikan operasi sistem Metro musim haji dari Arafah ke Mina, baru-baru ini.

Selain itu, Ahmad Husni turut mengesahkan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy tidak hadir pada prosiding siasatan 1MDB oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) minggu lepas disebabkan terikat dengan komitmen di luar negara berkaitan penyelesaian hutang syarikat berkenaan.

“Beliau telah pun mempunyai temu janji dengan BSI Bank Singapore dan institusi pemberi hutang bagi membincangkan penyelesaian hutang 1MDB berjumlah US$1 bilion di luar negara ketika itu.

“Adakah wang US$1 bilion yang akan menentukan masa depan 1MDB itu nak diketepikan?” katanya.

Ahmad Husni turut menafikan firma audit KPMG dan Deloitte bersubahat dengan menyembunyikan apa didakwa sebagai penyelewengan kewangan dalam 1MDB.

Malah, katanya, pelantikan sesebuah firma audit baharu adalah satu amalan biasa dalam aspek tadbir urus korporat.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan wujudnya konflik kepentingan membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

“Kita komited dalam menentukan hala tuju 1MDB pada masa hadapan dengan memperkemaskan lagi tadbir urus korporat,” tegasnya. 

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment