Wednesday, June 03, 2015

Usul Tergempar: “Bertalak Tiga, Namun Masih Bersekedudukan?”

hadi awang
EDITOR MENULIS...
3 JUN 2015

Putus hubungan politik dengan DAP, tetapi kekal bersama PKR di dalam Pakatan Rakyat, itulah usul tergempar yang diluluskan oleh Dewan Ulama PAS yang bersidang semalam di Taman Melewar, Gombak.

Usul ini sedikit sebanyak menimbulkan persoalan, apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh Dewan Ulama PAS?

Kita faham keadaan PAS yang terpukul dengan hinaan yang dilemparkan ke atas Hadi Awang oleh DAP, lantas mengutarakan usul tergempar berkenaan. Namun, bagaimana untuk PAS kekal di dalam Pakatan sedangkan DAP sendiri masih berada di dalamnya.

Sesungguhnya, ramai peminat politik tanahair sedang menduga di dalam kesamaran, akan permainan politik terbaru ciptaan Dewan Ulama.

Kata-kata nakal mengumpamakan senario ini sebagai “berpisah talak, namun masih bersekedudukan”. Ini lebih membawa kehinaan kepada Dewan Ulama PAS, kerana masih dilihat cuba “playsafe” dalam usul berkenaan.

Seharusnya, Dewan Ulama melihat tindakan mereka harus berdasarkan sikap campurtangan DAP ke atas pemilihan parti itu yang jelas kelihatan. Tidak cukup dengan provokasi melampau ke atas Hadi Awang, DAP secara terang-terangan memberi sokongan kepada calon-calon yang difikirkan lebih senang untuk mereka bekerjasama.

Hakikatnya, calon-calon tersebut boleh dikatakan sudah tidak lagi berpegang kepada prinsip dan perjuangan PAS itu sendiri. Bijak DAP, mereka tidak perlu mengubah prinsip parti mereka, tetapi menyokong calon-calon yang berani mengubah hala tuju PAS itu sendiri.

Tidak hairanlah jika ada di kalangan calon-calon tersebut membawa pimpinan DAP ke hulu ke hilir untuk berceramah di hadapan khalayak PAS sendiri. Itu belum diambil kira pula dengan keberanian seorang calon untuk jawatan tertinggi parti yang membuat kenyataan tidak kisah jika dilabel sebagai “proksi DAP”.

Kemuncak campurtangan DAP ke atas pemilihan PAS kali ini boleh dilihat dari keputusan parti sosialis itu yang mahu menimbang semula kedudukan mereka di dalam Pakatan Rakyat selepas berlabuhnya Muktamar PAS ke 61. Apa yang tersirat ialah, DAP menyampaikan maksud, jika calon-calon yang mereka gemari tidak dipilih oleh perwakilan, maka mereka menggambarkan akan keluar dari Pakatan Rakyat.

Mungkin juga inilah harapan Dewan Ulama PAS, yang mahu memastikan Hadi Awang dan pro ulama PAS diberi mandat baru bagi mengemudi bahtera PAS, sekaligus memaksa DAP membuat langkah drastik dengan memutuskan tahaluf siyasi antara mereka.

PAS enggan dilabel sebagai mungkir janji, maka Dewan Ulama PAS menetapkan usul yang sedemikian rupa. Jika DAP keluar dari Pakatan, PAS tidak akan dikenang sebagai pengkhianat pakatan harapan rakyat.

Tetapi, bagaimana jika DAP masih terus ingin bersama Pakatan Rakyat walaupun Hadi Awang diberi mandat baru untuk memimpin PAS?

Apa pula tindakan PAS?

Untuk makluman semua, ini hanyalah usul semata, dan belum lagi diputuskan secara sah. Usul tersebut perlu dibawa ke Jawatankuasa PAS pusat, yang bakal menjalani pemilihan baru pada hari ini, sementara keputusannya akan diumumkan esok hari.

Masih punya waktu untuk membuat pusingan “u-turn”, atau sekadar berpusing-pusing di “roundabout”.

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgSI-ooHmHkZzsfcfIFf8wfj-aKCCBtq35Mq6rjZR1LeAdMt-aERslAmAQCKm5YsI42zPCZ_WkbvsOC4LMzJNTHquTvW832prf0E0Ntv18uQQJX5UUnrIJrw4PI_5Qq0XZyvS9ZyCjkBFX4/s1600/Debat+01.jpg
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment