Monday, May 16, 2016

Rakyat Akan Menilai Siapa Mahathir Selepas Sokong Pembangkang Di Dua PRK

SHAH ALAM : Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar mempersoal sikap Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengambil pendekatan menyokong pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar kelak.

Beliau berkata, tindakan mantan perdana menteri itu akan mewujudkan tanggapan rakyat terhadap Mahathir, apatah lagi dengan serangan-serangan peribadi yang disasarkan kepada Datuk Seri Najib Razak selama ini.

"Masyarakat dapat menilai hati budi dan perwatakan Mahathir. Akhirnya orang akan melihat ia sebagai dendam atau perasaan tak puas hati terhadap pucuk pimpinan, atas tafsiran beliau bahawa Najib kurang berjaya mungkin selepas anaknya dipecat sebagai Menteri Besar Kedah, dan kemungkinan yang sebagainya," ujarnya kepada media, hari ini.

Abdul Latif mengulas kempen Mahathir bersama pembangkang dalam menghadapi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan diadakan serentak pada 18 Jun depan.

Mahathir menyatakan sokongan secara terang-terangan kepada pembangkang dalam Himpunan Selamatkan Malaysia malam tadi, selain mahu pihak berkenaan meletakkan satu calon sahaja bagi berdepan dengan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam mewujudkan pertandingan dua penjuru.

Mengulas lebih lanjut, Abdul Latif meminta Mahathir berfikir sebaik-baiknya sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan daripada mengeruhkan lagi suasana politik tanah air.

"Dalam konteks ini, saya berpendapat Mahathir, walaupun ada kebebasan membuat kenyataan yang tidak menentu arah. Dahulu kerana Najib, kini sekarang seluruh kepimpinan parti yang memerintah tidak sesuai. Sentiasa berubah-ubah," kata pensyarah di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu.

Awal Mac lalu, Mahathir mengumumkan keluar dari Umno selepas 'kecewa' dengan perjuangan parti itu, dan bertindak bersama-sama pembangkang menerusi Deklarasi Rakyat dalam usaha menjatuhkan kepimpinan Najib.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment