Monday, June 06, 2016
Alhamdulilah.... Ahmad Said Ikrar Kembali Aktif Demi UMNO
CHUKAI : Dua tahun menyepi selepas tidak lagi menjadi menteri besar,
Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau akan aktif semula demi UMNO dan
kelangsungan Melayu.
Beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Kemaman berkata, beliau ingin melihat kuasa politik Melayu terus kukuh di bawah UMNO.
“Saya meminta media tidak lagi mengulang siar cerita lama yang sudah
berlalu kerana mulai sekarang, saya akan terus aktif menunaikan
tanggungjawab sebagai Ketua UMNO Bahagian Kemaman dan Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Kijal,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran
Skuad An-Nur Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kemaman di Dewan Majlis
Perbandaran Kemaman (MPK) di sini, semalam.
Lebih 1,600 ahli pergerakan itu hadir pada majlis itu.Ahmad berkata
penubuhan Skuad An-Nur Wanita UMNO Bahagian Kemaman mencerminkan
semangat perpaduan dalam kalangan wanita semakin kukuh.
“Saya kagum melihat kehadiran begitu ramai ahli wanita UMNO menjayakan
program pelancaran pada hari ini dan ia mencerminkan komitmen Wanita
UMNO Kemaman terhadap parti masih utuh.
“Alhamdulillah, mana-mana program anjuran parti dan kerajaan di Kemaman,
ia mendapat sambutan ramai, termasuklah sambutan Maulud Nabi yang
diadakan beberapa tahun lalu dengan perarakan terpanjang lebih dua
kilometer,” katanya.
Skuad An-Nur dipengerusikan oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian,
Datuk Rohani Abdullah bagi menyelaras kegiatan agama anjuran Pergerakan
Wanita UMNO Bahagian Kemaman sempena bulan Ramadan dan seterusnya.
Sempena majlis pelancaran itu, turut diadakan program ceramah motivasi
bertajuk ‘Sakinah Mawardaah’ dengan mengundang motivator terkenal, Datuk
Dr Mohd Fadzillah Kamsah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment