Sunday, May 15, 2016
DAP Hanya Sokong Calon Pakatan Harapan, PAS Bukan Ahli
GEORGETOWN : DAP menegaskan hanya akan menyokong calon dari Pakatan
Harapan untuk dua pilihanraya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai
Besar.
Bagaimanapun, ketika ditanya adakah parti itu akan menyokong calon Pas
di dua kawasan itu, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, parti
Islam itu bukan lagi berada dalam Pakatan Harapan.
"Saya tidak ada apa nak komen kerana kedua-dua kawasan ini di Selangor
dan Perak. Bagaimanapun, tentu kita akan sokong calon yang diputuskan
oleh Pakatan. Pas bukan calon Pakatan.
"Itu sahaja yang saya nak kata, DAP akan tetap sokong calon yang
diputuskan Pakatan. Kita akan adakan perbincangan dengan Kak Wan (Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan Mat Sabu (Mohamad Sabu), dan yang
paling penting, tentu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana kawasan ini
dalam kawasan Selangor," katanya kepada media di luar dewan persidangan
Dun hari ini.
Guan Eng bagaimanapun enggan mengulas berhubung hasrat Mohamed Azmin
ingin Pas kembali semula ke pangkuan Pakatan Harapan selepas kalah teruk
di Sarawak.
Pilihanraya kecil akan diadakan di dua kawasan berkenaan selepas Ahli
Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khairil Anuar Wan Ahmad (BN)
dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon (BN) maut dalam
insiden helikopter terhempas ketika dalam perjalanan ke Sarawak.
Pada Pilihanraya Umum 2013, Wan Muhammad telah mengalahkan calon Pas,
Khalil Idham Lim dengan majoriti 1,082 undi manakala Noriah mengekalkan
kerusi itu dengan majoriti tipis 399 terhadap calon Pas, Mohamed Saleh M
Hussain.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Jun ini sebagai tarikh
pilihan raya kedua-dua kerusi dengan tempoh berkempen selama dua minggu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment