Sunday, May 15, 2016
Roboh Rumah : Kerajaan Selangor Tidak Menepati janji
Kuala Selangor : Mangsa rumah roboh Kampung Seri Aman di Ijok di
sini mendakwa kerajaan negeri Selangor telah mungkir janji apabila gagal
menyediakan tapak baharu seperti dijanjikan sebelum kerja-kerja
merobohkan rumah mereka dilakukan Selasa lepas.
Empat keluarga kehilangan tempat tinggal apabila pihak berkuasa tempatan
merobohkan empat daripada 30 rumah di kampung berkenaan kerana ia
dibina atas tanah rizab kerajaan negeri yang dirancang untuk pembangunan
Projek Rumah Selangorku.
Salah seorang ketua keluarga yang terjejas, S Gunasegaran, 59, berkata
dalam perbincangan sebelum ini, kerajaan negeri berjanji akan menambak
tanah di satu kawasan berhampiran kampung tersebut untuk dijadikan tapak
rumah mereka sebelum kerja meroboh dijalankan.
“Tapi sampai sekarang, rumah sudah roboh tapak itu masih belum tambak,
tempat itu amat rendah dan senang banjir jika hujan lebat, kalau
kerajaan negeri tidak tunai janji mana kami mahu cari duit untuk tambak
sendiri,” kata pemandu lori itu ketika ditemui pemberita di sini, hari
ini.
Kata bapa kepada empat cahaya mata itu, beliau kini mengeluarkan belanja
yang banyak kerana terpaksa menyewa rumah dengan kadar RM1,000 sebulan
selain terpaksa menanggung perbelanjaan dua anak yang masih bersekolah.
“Gaji saya pun bukan besar, dalam RM2,500 sahaja,” katanya.
Tinjauan Bernama ke kawasan yang dikatakan dijanjikan sebagai tapak
rumah mangsa mendapati ia masih lagi penuh dengan semak samun dan
kawasannya agak rendah berbanding tanah di sekelilingnya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor, Datuk
Seri Noh Omar berkata, beliau kesal dengan tindakan kerajaan negeri
kerana gagal menyediakan tempat perlindungan sementara kepada mereka.
“Kerajaan Selangor hanya pandai mengatakan mereka berkebajikan tetapi
apa yang mereka lakukan terhadap keluarga ini adalah zalim,” kata
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor itu ketika melawat kampung
berkenaan.
Hadir sama Anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim dan Setiausaha Eksekutif MIC Kebangsaan, K.Partiban.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment