Monday, June 06, 2016

PRK Kuala Kangsar: Langkah Wan Emir Beralas Kasut Bapa

KUALA KANGSAR : Kehadiran Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar pada penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini kelihatan sekadar mewakili ibunya, Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Namun apabila ditemui, anak sulung kepada Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad mendedahkan kehadirannya bersama tiga adiknya turut membawa semangat perjuangan bapanya di Parlimen Kuala Kangsar.

Tidak cukup dengan itu, langkah pemuda berusia 26 tahun itu lebih bermakna apabila turut memakai kasut Allahyarham.

"Saya hadir di sini bukan sahaja mewakili ibu, tetapi membawa semangat perjuangan bapa di Parlimen Kuala Kangsar.

"Oleh itu saya ingin memberitahu pengundi bahawa setiap undi mereka bukan sekadar untuk ibu, tetapi untuk Allahyarham bapa saya juga.

"Undi itu akan memberi ruang kepada ibu meneruskan perjuangan bapa terhadap pengundi dan penduduk di Parlimen ini," katanya ketika ditemui pemberita ketika proses penamaan calon di sini, Ahad.

Turut hadir bersama Wan Emir ialah tiga adiknya, Wan Imar Izzat, 25, Wan Iskandar, 23, dan Wan Muhammad Amar, 19, selain ditemani Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, selain pimpinan tertinggi Umno negeri dan pusat.

Mastura dinamakan sebagai calon PRK Kuala Kangsar selepas suaminya yang merupakan Ahli Parlimen Wan Mohammad Khair-il Anuar meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRK berkenaan juga Mastura bakal bersaing dengan tiga calon lagi iaitu Izad Bukhary (bebas), Najihatussalehah Ahmad (PAS) dan Dr Ahmad Termizi Ramli Amanah.

Walaupun masih berada dalam tempoh edah, namun Mastura dijangka akan mengadakan kempen secara lintas langsung menggunakan tiga buah lori yang dilengkapi skrin LED.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment