Sunday, March 06, 2016
Kerjasama Dr Mahathir-Pembangkang Kukuhkan Najib
KUALA LUMPUR : Tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
bekerjasama dengan musuh Umno untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak tidak akan memberi kesan.
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman
Dahlan berkata tindakan tersebut sebaliknya mengukuhkan lagi kedudukan
Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.
"Bekerjasama dengan musuh ketat Umno hanya akan memperkukuhkan lagi
kedudukan PM dalam Umno, saya berterima kasih kepada anda Tun (Dr
Mahathir)," katanya melalui akaun twitter pada Jumaat.
Dr Mahathir, yang mengambil keputusan keluar daripada Umno pada 1 Mac
lalu, hari ini bersama-sama beberapa pemimpin pembangkang dan bekas
pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Umno menandatangani Deklarasi Rakyat
mahukan Najib meletakkan jawatan perdana menteri.
Antara yang turut hadir menandatangani deklarasi itu ialah Tan Sri
Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Lim Kit Siang dan
Datuk Mustafa Ali.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan
apa yang berlaku sebagai satu drama paling menarik dalam sejarah politik
negara.
"Kita ucapkan tahniah kepada DAP, Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah
Negara dan Bersih kerana akhirnya menerima pimpinan mantan presiden Umno
(Dr Mahathir) yang sebelum ini berpuluh tahun kami dalam Umno berjuang
supaya anda menerima pimpinannya," katanya dalam kenyataan di sini hari
ini.
Menurutnya, Umno akan terus beristiqamah dengan proses demokrasi yang dipertahankan selama ini.
Annuar berkata Umnojuga tidak mampu berdrama kerana mandat rakyat adalah supaya parti itu membela nasib rakyat.
"Kita bertanggungjawab memajukan ekonomi, memupuk perpaduan, menjaminkan
keamanan serta keadilan di samping mempertahankan kedaulatan negara,"
katanya.
Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun pula berpendapat gandingan
kekok Dr Mahathir dan Lim Kit Siang tidak layak untuk mendesak Najib,
seorang pemimpin yang mendapat mandat demokratik daripada rakyat dan
anggota Umno, untuk berundur mahupun meletak jawatan.
"Tun Dr Mahathir sepatutnya tidak mengajar anak muda dengan sikap sebegini.
Sewaktu beliau menjadi presiden Umno dan perdana menteri, anggota parti
tetap mempertahankan beliau dalam pelbagai episod dan krisis politik,"
katanya dalam kenyataan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment