Monday, February 01, 2016
PAS Sedia 'Bertembung' Dengan DAP Dalam Pilihanraya Sarawak
PAS akan meletakkan calon di 11 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN)
Sarawak dan bersedia menentang mana-mana calon termasuk daripada DAP,
kata pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Mustafa Ali.
Beliau berkata 9 daripada kerusi itu merupakan kawasan lama Dewan
Undangan Negeri (DUN) Sarawak, manakala baki 2 lagi kerusi merupakan
kawasan baru Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan
Negeri bagi Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi DUN di negeri
ini.
Katanya keputusan PAS untuk bertanding di 11 kerusi tersebut juga
dibincangkan bersama PKR kerana PAS masih mempunyai hubungan dengan
parti itu dan tiada perbincangan diadakan dengan DAP.
"Setakat perbincangan dengan PKR, kita tidak mahu ada pertindingan
kerusi dengan mereka (PKR), tetapi yang lain boleh bertindih...tiada
masalah sebab kita tidak ada hubungan dengan mereka.
"Kita akan bertanding di 11 DUN, PAS akan meletakkan calon daripada
pelbagai latar belakang termasuk profesional, agamawan dan juga
usahawan. Pada PRN Sarawak, PAS juga akan meletakkan seorang calon bukan
Islam di kerusi DUN yang baru diluluskan," katanya dalam sidang media
di Kuching hari ini.
Terdahulu, Mustafa bersama beberapa pimpinan PAS pusat dan negeri
menghadiri mesyuarat Pilihan Raya Pusat berkenaan PRN Sarawak di sini.
Turut hadir Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,
Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee dan Setiausaha PAS Sarawak Mukhtar
Suhaili.
Mengulas lanjut, Mustafa berkata PAS Sarawak akan menghantar senarai
calon PRN negeri kepada Majlis Syura PAS untuk pertimbangan pertengahan
Februari nanti.
"Majlis Syura akan semak calon ini, kelayakan mereka untuk bertanding,
sebelum meluluskan penempatan mereka. Perbincangan mengenai calon ini
akan turut diadakan menerusi perbincangan dengan PAS Sarawak," katanya.
Sementara itu, Mustafa berkata pengumuman Ketua Menteri Sarawak Tan Sri
Adenan Satem semalam PRN negeri akan diadakan pada April amat
dialu-alukan.
Katanya PAS menjangkakan PRN Sarawak akan diadakan pada Mac tetapi
dengan berita yang diumumkan Adenan itu memberi indikasi terbaru
persediaan pilihan raya PAS.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment