Friday, March 25, 2016
BN Sarawak Kendali Sepenuhnya Kempen Pilihanraya Negeri – Annuar
KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) pusat memberi sepenuh
kepercayaan kepada BN Sarawak untuk mengendalikan kempen pilihan
raya negeri (PRN) itu yang dijangka tidak lama lagi.
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan negeri BN
Sarawak dilihat lebih memahami setiap kehendak dan keperluan rakyat
negeri itu.
“Kerajaan Sarawak lebih memahami setiap inci dan detik aspirasi
rakyat Sarawak sendiri. Tiada orang lain yang faham lebih baik melainkan
rakan-rakan kita daripada sana,” katanya selepas mengadakan pertemuan
muhibah dengan Setiausaha Agung Gerakan Datuk Liang Teck Meng di Menara
PGRM, di sini hari ini.
Annuar berkata BN pusat sentiasa menyokong dan sedia dirujuk
sekiranya BN Sarawak memerlukan bantuan bagi menghadapi sebarang
kekurangan atau masalah sepanjang PRN itu nanti.
“Apa juga kekurangan di Sarawak adalah tanggungjawab BN pusat untuk
membantu dalam semangat BN namun kita tak boleh membawa ‘template’ kita
guna di Semenanjung untuk Sarawak, mereka sendiri sewajarnya menentukan
apa yang baik untuk mereka,” katanya.
Annuar berkata Sarawak merupakan satu model yang boleh
dibanggakan berdasarkan keadaan negeri itu yang mempunyai pelbagai kaum
dan etnik namun dapat terus maju.
“Mereka (BN Sarawak) benar-benar dapat menyentuh hati dan perasaan
rakyat Sarawak, mereka kenal pasti sentimen dan keinginan rakyat.
“Mereka dapat rasai denyut nadi akar umbi dengan cara yang betul dan
kita (BN pusat) akan bantu dan beri kerjasama yang diperlukan kerana
kita menghargai apa yang dicapai di Sarawak ketika ini,” katanya.
Mengulas mengenai pertemuan muhibah itu, Annuar berkata Gerakan
sepakat untuk bersama-sama dengan parti komponen BN yang lain untuk
memainkan peranan membantu kerajaan menangkis isu yang menjejaskan
perpaduan kaum di negara ini.
“Pertemuan ini merupakan satu proses di mana kita diagnosis masalah
yang dihadapi rakyat pelbagai kaum dan sebagai sebuah kerajaan yang
bertanggungjawab kita bersama-sama mencari penyelesaian untuk memastikan
masalah rakyat dapat diuruskan dengan baik,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment