Friday, March 25, 2016
Gerakan Pulau Pinang Dakwa Tanah Taman Manggis Untuk Projek PPR Fasa Kedua
GEORGE TOWN : Tanah Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin di
sini dikatakan telah dilulus untuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat
(PPR) fasa kedua oleh kerajaan negeri Pulau Pinang semasa di bawah
pimpinan Barisan Nasional dahulu.
Setiausaha Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata perkara itu
terkandung dalam memo yang diserah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri
ketika itu oleh Pengarah Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Julai
2003.
Fasa pertama sebanyak 320 unit rumah telah disiapkan manakala fasa
kedua membabitkan 272 unit rumah belum dilaksanakan, katanya pada sidang
akhbar di sini hari ini.
Bagaimanapun, Oh mendakwa selepas DAP mengambil alih tampuk
kepimpinan negeri, tanah seluas 0.45 hektar itu dijual kepada syarikat
swasta untuk pembinaan bangunan setinggi 30 tingkat yang mengandungi 19
tingkat hotel, enam tingkat hospital swasta dan lima tingkat tempat
letak kereta.
Beliau berkata kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya meneruskan
projek perumahan rakyat oleh Barisan Nasional itu kerana memberi manfaat
kepada penduduk negeri ini terutama golongan yang memerlukan.
“Mereka ada kuasa sepatutnya teruskan sahaja projek ini. Mana yang
baik untuk rakyat mereka tak kekalkan … kemudian kata kami (Barisan
Nasional) tidak buat itu dan ini,” katanya.
Ditanya mengapa fasa kedua itu tidak dibina sekali dengan fasa
pertama, Oh berkata ketika itu sudah hampir pilihan raya umum dan
kerajaan negeri bercadang membina selepas pilihan raya umum itu.
Isu tanah Taman Manggis, di sini kembali mendapat perhatian apabila
Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya
pada Dewan Rakyat Khamis lepas meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia menyiasat penjualan beberapa bidang tanah di Pulau Pinang, yang
pada asalnya dikatakan diperuntukkan bagi pembinaan rumah melalui
Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Sementara itu di ALOR SETAR, Timbalan Presiden Gerakan Datuk Dr Cheah
Soon Hai meminta Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membuat akuan
bersumpah jika benar beliau tidak tahu nilai sebenar banglo dibelinya
dan isu Taman Manggis.
“Sebagai seorang ketua menteri mustahil beliau tidak tahu
mengenai perkara itu dan saya berpendapat beliau buatlah satu akuan
bersumpah mengenainya. Saya percaya segala rekod mengenainya juga ada pada Exco
yang bertanggungjawab,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment