Thursday, March 24, 2016

Isu Banglo Dan Taman Manggis : Wanita, Pemuda UMNO P.Pinang Lapor SPRM

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjKycHeizk1oRFU12prWtH001oX05I7pUWxhv8DHf6aI9HjXlQ-ydPsugBa14112xCrUzdzp7d87IpzquWiwO-CoGCmkA9OiZ3E-_IXPM5Lmd8DOvyka18szoCWj14OPnkBT-Pkqtj625s/s400/lim+guan+eng+bungalow+taman+manggis.jpg
GEORGE TOWN : Wanita dan Pemuda UMNO Pulau Pinang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini berhubung isu banglo Ketua Menteri Lim Guan Eng dan urusan jual beli tanah di Taman Manggis dekat sini.

Laporan itu dibuat Ketua Wanita UMNO negeri Datuk Norliza Abdul Rahim dan Ketua Pemuda UMNO negeri Rafizal Abdul Rahim.

Norliza berkata dakwaan Lim bahawa beliau tidak tahu nilai sebenar banglo dibelinya itu mungkin helahnya kerana beliau mempunyai latar belakang akauntan dan terlibat dalam bidang perniagaan.

“Kami dah buat semakan, sewaktu hendak pindah hak milik hartanah, kena bayar duti setem dan taksiran dibuat adalah pada kadar harga semasa, tak betul kalau tak tahu (nilai rumah),” katanya kepada pemberita sebelum laporan itu.

Justeru SPRM perlu menyiasat segera siapa yang membayar duti setem berkenaan dan jika terbukti Lim sendiri yang membayarnya, maka alasan bahawa ketua menteri itu tidak tahu nilai semasa banglonya adalah tidak benar, katanya.

Rafizal pula berkata pihaknya akan menyerahkan dokumen baharu berkenaan kelulusan penjualan tanah di Taman Manggis kepada SPRM untuk disiasat.

Beliau berkata pihaknya juga akan membuat laporan berhubung dua dokumen Perjanjian Jual Beli (S&P) berkaitan tanah yang diperuntukkan untuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu yang dikatakan diperoleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

“Pemuda akan membuat laporan kepada SPRM selepas ini jika dokumen yang didakwa dimiliki oleh Datuk Abdul Rahman dapat diperolehi dan diserahkan kepada SPRM,” katanya.

Semalam, Abdul Rahman mendakwa dua dokumen itu menyatakan bagaimana tanah tersebut yang kini dimiliki sebuah syarikat swasta iaitu Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) cuba dijual kepada pihak ketiga dengan harga RM20 juta.

Dakwanya berdasarkan kandungan dokumen itu, ia jelas menunjukkan bahawa KLIDC yang membeli tanah itu daripada kerajaan negeri tidak berminat untuk membangunkannya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment