Thursday, March 24, 2016

Warga Kementerian Pendidikan Perlu Tangkis Hebahan Palsu – Mahdzir Khalid

http://assets.bharian.com.my/images/articles/mahzo.transformed_0.jpg
PUTRAJAYA : Warga Kementerian Pendidikan perlu bersiap sedia menghadapi cabaran masyarakat baharu dalam era kesalinghubungan digital bagi menangkis hebahan palsu terutamanya mengenai isu penutupan sekolah.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata semua unit di kementerian itu perlu bijak menangani masalah itu dan membetulkan keadaan dengan maklumat terkini dan benar.

Katanya pengumuman palsu yang tersebar di laman Facebook pada Sabtu lepas mengenai penutupan sekolah di beberapa negeri ekoran gelombang haba akibat El-Nino adalah antara contoh bagaimana berita tersebar dengan pantas.

“Pada masa ini, semuanya pantas kerana maklumat dapat masuk dengan sekelip mata.

“Kenyataan Timbalan Menteri (Datuk P.Kamalanathan) telah disalah erti. Beliau kata kemungkinan sekolah tutup kalau cuaca terlalu panas, tetapi tersebar yang sekolah akan ditutup pula,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Seramai 472 warga Kementerian Pendidikan peringkat ibu pejabat menerima anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang.

“Sama juga semasa jerebu tempoh hari, kementerian kata dua hari cuti, yang tersebar ialah kita tambah satu hari lagi cuti,” katanya.

Mahdzir turut mengingatkan pegawai dan kakitangan kementerian supaya menjadi masyarakat yang bijak dalam menilai atau memberi maklumat yang tepat kepada masyarakat.

“Ada sesetengah isu semasa perlu dijawab dengan kadar segera sebelum pekeliling dikeluarkan, yang mungkin mengambil masa dua hingga tiga hari,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment