Friday, March 25, 2016
Parlimen : Rahman Dahlan Dakwa Miliki Dokumen Perjualan Tanah Taman Manggis
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk
Seri Abdul Rahman Dahlan mendakwa beliau memiliki dua dokumen Perjanjian
Jual Beli (S&P) berkaitan tanah yang diperuntukkan untuk projek
perumahan rakyat termiskin (PPRT) di Taman Manggis, Pulau Pinang.
Beliau mendakwa dua dokumen itu menyatakan bagaimana tanah tersebut yang
kini dimiliki sebuah syarikat swasta iaitu Kuala Lumpur International
Dental Centre (KLIDC) cuba dijual kepada pihak ketiga dengan harga RM20
juta.
“Kedua-dua S&P ini ada dalam tangan saya, yang diberikan oleh
orang-orang tertentu dan dalam percubaan untuk menjual tanah ini, dua
perjanjian S&P ini begitu terperinci sekali.
“Siap ada semuanya di sini yang telah menyatakan penjual meminta harga
RM20 juta maknanya dia beli RM11 juta dia nak jual RM20 juta,” katanya
semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan
Agong di Dewan Rakyat pada Rabu.
Katanya dua dokumen tersebut adalah baharu dan beliau tidak teragak-agak
untuk menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) untuk disiasat.
Abdul Rahman berkata berdasarkan kandungan dokumen itu, ia jelas
menunjukkan bahawa KLIDC yang membeli tanah itu daripada kerajaan negeri
tidak berminat untuk membangunkannya.
“Saya serahkan kepada SPRM dan pihak yang memberikan dokumen ini kepada
saya kalau diperlukan untuk ditemu ramah, sudah tentu mereka juga perlu
dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.
Menjelas lanjut, Abdul Rahman berkata dokumen itu turut menyatakan
mengenai satu pembayaran membabitkan RM17 juta yang perlu dibayar kepada
empat syarikat.
Menurutnya, tanah di Taman Manggis itu seluas 4.937 ekar (1.99 hektar)
diperuntukkan untuk pembinaan PPRT yang mana sebanyak 2.872 ekar (1.162
hektar) telah dibangunkan untuk projek itu, manakala selebihnya
sepatutnya digunakan untuk pembangunan projek sama bagi fasa kedua.
Bagaimanapun, tanah selebihnya itu kemudiannya telah dijual kepada KLIDC
yang pada awalnya bercadang untuk membina sebuah rawatan swasta sahaja
namun ditukar kepada pembinaan pusat rawatan swasta berserta lot
komersial.
Persidangan dewan bersambung pagi ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment