Friday, March 25, 2016
Permohonan Hishamuddin Rais Cabar Imigresen Pada 15 April
KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi menetapkan 15 April ini untuk mendengar
permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan aktivis
Hishamuddin Md Rais bagi mencabar tindakan Jabatan Imigresen yang
melarangnya ke luar negara pada Disember tahun lepas.
Timbalan Pendaftar Nor Hasniah Ab Razak menetapkan tarikh itu semasa
pengurusan kes dalam kamarnya, yang dihadiri peguam Melissa Sasidaran
mewakili Hishamuddin.
Melissa ketika ditemui pemberita berkata permohonan anak guamnya itu
akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan
Kuasa-kuasa Khas) Datuk Hanipah Farikullah.
Hishamuddin selaku pemohon, memfailkan permohonan itu pada 3 Mac lepas
dengan menamakan Ketua Pengarah (KP) Jabatan Imigresen Malaysia, Menteri
Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Beliau menuntut deklarasi bahawa sekatan perjalanan yang dikenakan
terhadapnya pada 3 Disember 2015 adalah melanggar hak kebebasan bergerak
mengikut Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, ia terbatal,
tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Beliau juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan Arahan Sekatan
Perjalanan yang dimaklumkan secara lisan oleh pegawai Imigresen
terhadapnya pada hari berkenaan (3 Disember), selain menuntut perintah
mandamus untuk mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen
membenarkannya ke luar negara tanpa sekatan.
Hishamuddin menuntut ganti rugi atau pampasan akibat penafian hak yang
diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan terhadap pemohon, kos
dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Menerusi afidavit sokongan, Hishamuddin berkata beliau ketika itu berada
di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki
pesawat ke Korea Selatan apabila dihalang oleh pegawai Imigresen
daripada melepasi pintu Imigresen meskipun mempunyai pasport dan tiket
penerbangan yang sah.
Aktivis itu berkata walaupun pernah didakwa atas kesalahan menghasut,
beliau tidak pernah diberi mana-mana sekatan atau halangan dari
mana-mana pihak berkuasa yang melarangnya keluar dari negara ini,
sebelum dihalang pada hari berkenaan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment