Monday, February 01, 2016

Demam Pilihanraya : Suhu Politik Di Sarawak Naik Mendadak....

Suhu politik di Sarawak naik mendadak selepas penggumuman Ketua menteri Tan Sri Adenan Satem mengenai cadangan beliau tarikh penamaan calon dan pilihanraya iaitu pada 18 April dan 30 April.

Walaupun hanya cadangan dan SPR hanya akan buat keputusan selepas DUN dibubarkan, ramai pemerhati politik melihat ia merupakan tarikh bayangan paling hampir, kata mudahnya, kalau lari pun sehari dua sahaja.

Pagi minggu di Sarawak menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berada di negeri itu sejak semalam untuk menghadiri beberapa acara berasingan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula membuat lawatan kerja di Sarawak dengan meluangkan masa meninjau perkembangan projek Jambatan Batang Sadong.

Beliau yang diiringi Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang diberi penerangan berhubung status terkini pembinaan jambatan bernilai RM211 juta itu.

Najib diberikan taklimat mengenai projek jambatan yang kini siap lebih 91 peratus itu oleh Pengurus Wilayah bagi Pejabat Wilayah Selatan Jabatan Kerja Raya Sarawak Vincent Tang Chok Khing.

Turut hadir Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga anggota Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri; Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri James Jemut Masing, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sadong Jaya, Aidel Lariwoo dan Adun Sebuyau Datuk Julaihi Narawi.

Selain memendekkan tempoh perjalanan untuk penduduk sekitar ke bandar raya Kuching, pembinaan jambatan itu juga akan memudahkan penduduk membawa hasil pertanian untuk dipasarkan di Kuching.

Jambatan sepanjang 1.48 kilometer yang merentasi Sungai Batang Sadong itu merupakan jambatan terpanjang di negeri ini memulakan pembinaan pada Julai 2012.

Jambatan berkenaan dijangka siap pada 31 Ogos ini.

Untuk rekod, peruntukan pembinaan jambatan ini diluluskan Najib semasa tempoh kempen Pilihan Raya Negeri 2011.

Najib kemudiannya ke Kuching sebelum berlepas ke Bintulu bagi menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah Bintulu.

Sebelum melawat jambatan tersebut, Najib ke Sekolah Kebangsaan Sungai Ladong, kira-kira 100km dari bandar raya Kuching.

Beliau mengumumkan satu bangunan baharu yang siap dibina dalam masa hanya sekitar lima minggu dengan menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS).

Hadiah istimewa buat sekolah itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat tinjauan mesra di sekitar kawasan berkenaan di hari kedua lawatan kerja ke Sarawak, pagi ini.

Beliau berkata bangunan bernilai kira-kira RM2 juta itu nanti akan dilengkapi enam bilik darjah serta dua kuarters guru.

Menurutnya, selain itu sebuah makmal sains juga akan dibina berhampiran tapak sedia ada.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat sekolah berkenaan, Perdana Menteri berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha gigih kerajaan membawa pembangunan ke Sarawak, terutama buat sekolah-sekolah di luar bandar yang sangat memerlukan bangunan-bangunan baharu.

Zahid, yang berada di Sibu, memberitahu pemberita bahawa beliau akan membuat tinjauan dua kali sebulan ke Sarawak tetapi untuk bulan Februari, "Saya akan datang tiga kali".

Timbalan Perdana Menteri itu meminta penduduk negeri ini terus memberi sokongan padu kepada Adenan yang dianggapnya pemimpin yang cukup baik dan popular.

"Sokongan anda akan membolehkan beliau meneruskan usaha menjadikan Sarawak lebih maju dan menjelang 2030, ia boleh menjadi negeri paling maju di negara ini," kata Zahid.

Menurut beliau lagi,  selain mempunyai barisan pemimpin yang baik, negeri ini turut memiliki ramai tokoh perniagaan yang akan membantu.

"Ada tokoh perniagaan utama di Malaysia yang datang dari Sarawak. Sebagai contoh, (masyarakat) Foochow dari Sibu yang dikenali dengan perniagaan besar mereka seperti Tan Sri Tiong Hew King dari Kumpulan Rimbunan Hijau," katanya.

Beliau melahirkan keyakinan Program Transformasi Sosio Ekonomi 15 tahun Sarawak yang menumpukan kepada transformasi di kawasan luar bandar, bermula tahun ini akan berjaya.

Beliau berkata faktor itu adalah kerana penduduk negeri berkenaan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama sentiasa bersatu.

"Tidak ada isu perbezaan kaum di Sarawak. Saya cukup gembira dengan keadaan ini," katanya pada majlis Makan Malam Komuniti sempena lawatannya ke Sibu, yang bermula malam semalam. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment