Friday, February 19, 2016
Kebebasan Bersuara Bukan Lesen Kutuk, Hina Institusi Pentadbiran Negara – Salleh
KUALA LUMPUR : Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri
Dr Salleh Said Keruak berkata rakyat negara ini bebas untuk berbeza pandangan tetapi tidak bebas untuk mengutuk dan menghina pemimpin serta institusi pentadbiran negara.
Beliau berkata rakyat seharusnya tidak mengamalkan budaya
bertentangan dengan amalan demokrasi negara terutama perbuatan
mencengkam sistem pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
menerusi media sosial.
“Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi, bebas memberi ruang
untuk rakyatnya berbeza pendapat tetapi kita tidak boleh bebas menghina
dan mengutuk pemimpin serta institusi Perdana Menteri (pentadbiran
negara).
“Demokrasi meraikan perbezaan pandangan tetapi tindakan menghina
dan memfitnah bukan budaya dan amalan masyarakat di negara ini,” katanya
ketika berucap melancarkan buku ‘If A Cat Had Nine Lives – The Legacy
of Najib Razak’ sempena memperingati 40 tahun Perdana Menteri
berkecimpung dalam politik di sini, hari ini.
Salleh berkata terdapat banyak persepsi berbanding realiti
dalam persekitaran khususnya menerusi media sosial yang berleluasa
memerlukan tindakan drastik diambil bagi mengurangkan atau menghentikan
impak negatif ke atas masyarakat.
“Dalam konteks itu, kita bercakap tentang keperluan untuk
mengubah daripada keadaan yang lebih politiking, menjawab tuduhan dan
dakwaan tidak berasas yang dilemparkan tanpa henti terhadap pentadbiran perdana menteri,” katanya.
Salleh berkata perkara itu tidak boleh biarkan berterusan.
“Kita mempunyai hak memberi pandangan dan pendapat tetapi kita harus ingat hak untuk menghancurkan negara adalah salah.
“Kita ada ‘freedom of speech’ tetapi kita tidak ada ‘freedom to
destroy’ kerana kita membentuk negara kita sebagai sebuah negara merdeka
dan rakyatnya menikmati hidup yang aman,” katanya.
Mengenai buku tulisan Ismail Noor yang menggunakan nama pena Ron
Liamsi, Salleh menyifatkan buku genre bukan fiksyen yang ditulis dalam
bentuk satira itu seharusnya dibaca oleh semua lapisan masyarakat bagi
membuka minda mengenai isu masa kini.
Penulisan dalam bentuk satira bertujuan menarik perhatian pembaca
terhadap isu tertentu yang membelenggu masyarakat termasuk sosial, katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment