Friday, February 19, 2016
UMNO Perlu Cekap Sampaikan Maklumat – Annuar Musa
KUALA TERENGGANU : Barisan
kepimpinan dan anggota UMNO perlu cekap menyampaikan maklumat supaya
jasa serta kebaikan dilakukan untuk rakyat tidak terselindung, kata
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata UMNO dan kerajaan Barisan
Nasional (BN) telah berjaya mentadbir dengan baik serta melakukan
pelbagai kemajuan, tetapi ia bagaikan tenggelam kerana fitnah terancang
serta tersusun oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“UMNO perlu bekerja. Kenapa kita (UMNO)
hendak sembunyikan beratus kebaikan yang telah UMNO lakukan. Perlu
beritahu, uar-uarkan, jelaskan. Jangan salahkan rakyat kalau kita tak
reti nak beri penjelasan.
“Rakyat di luar sana adalah rakyat yang
bijak. Mereka hendak mendengar tetapi kalau kita tidak memberi maklumat
yang cukup, kita tidak boleh salahkan rakyat, kena salahkan kita,”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan
pertemuan dengan ketua-ketua Penerangan UMNO Bahagian dan Sayap di
Pejabat Badan Perhubungan UMNO Terengganu di sini hari ini.
Ditanya bagaimana barisan penerangan UMNO akan mengatasi
masalah penyampaian maklumat tersebut, Annuar berkata “penyebaran
maklumat adalah sesuatu yang dinamik, bergantung kepada perubahan masa”.
“Kini teknologi telah meluas dan orang
ramai mula bercakap dengan ‘satu jari’ (maklumat di hujung jari).
Momentum telah berlainan, jadi kita (UMNO) kena buat penilaian bahawa
mungkin kita lambat membuat perubahan. Kita lambat nak memanfaatkan
penggunaan teknologi dan media baharu.
“Sebab itu kita mesti membuat pembetulan.
Ada perancangan yang telah dan sedang dibuat tetapi ia tidak cukup dan
ia perlu diperbaiki lagi,” katanya.
Selain penggunaan teknologi, katanya beliau
masih menitikberatkan kaedah permuafakatan dalan kalangan anggota dan
kepimpinan serta mengambil pendekatan positif terhadap setiap kritikan. Katanya kritikan bagaikan ‘wake-up call’ untuk terus bekerja dan memberi penerangan dengan lebih baik.
“UMNO boleh perbaiki prestasi untuk meyakinkan rakyat walau apa
jua tohmahan. Apa yang dikhuatirkan ialah kebaikan kita terlindung
kerana ketidakcekapan kita menyampaikan maklumat.
“Maka kita tidak boleh ambil mudah, kena terima bahawa cabaran telah berubah dan di luar sana keadaan telah berubah,” katanya.
Annuar yang juga Pengerusi MARA berkata
pembangkang kerap mengambil satu contoh kecil untuk memburukkan ribuan
kebaikan kerajaan demi agenda politik mereka.
“Parti Keadilan Rakyat (PKR) ambil seorang
budak yang tidak memperoleh biasiswa di Universiti Kuala Lumpur, buat
video budak ini, viralkan dan kemudian orang ramai anggap MARA sudah
membekukan biasiswa.
“Maka orang marah kerana anggap MARA sudah
hilang duit kerana membeli hartanah di Australia.
Ia hanya persepsi,
hanya kerana seorang dan mereka terlupa bahawa sebenarnya MARA telah
menaja 75,000 pelajar Bumiputera dengan perbelanjaan RM2 bilion
setahun,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment