Friday, February 19, 2016
Pengambilan Pekerja Asing Ditangguh – Zahid
SAMARAHAN : Kerajaan hari ini mengumumkan
penangguhan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber sehingga
kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja oleh pihak
industri.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
penangguhan itu juga bagi membolehkan kerajaan meneliti semula keputusan
berkaitan pembayaran levi dua kategori.
Beliau
berkata kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada program penggajian
semula di samping meningkatkan penguatkuasaan supaya tidak ada pekerja
asing baharu dibawa masuk ke dalam negara.
“Pekerja asing yang tidak ada dokumen atau tinggal lebih dari
tempoh dibenarkan, mereka akan ditangkap (dan) dihantar pulang ke negara
asal,” katanya semasa mengumumkan perkara itu pada majlis ramah mesra bersama anggota tentera di Kem Muara Tuang, di sini hari ini.
Menurutnya selaras dengan hasrat itu, tindakan penguatkuasaan akan ditingkatkan secara besar-besaran dalam negara.
Ahmad Zahid berkata adalah diharapkan rakyat khususnya kumpulan belia
akan menyahut seruan kerajaan untuk mengambil alih tempat pekerja asing
dan menjadi sumber tenaga kerja utama negara untuk melengkapkan
pembangunan ekonomi negara.
“Penangguhan ini akan berjalan sehingga kerajaan berpuas hati
terhadap keperluan sebenar sebagaimana yang dikehendaki pihak industri,”
katanya.
Lebih 1,000 anggota tentera menghadiri program ramah mesra itu, yang
merupakan program pertama Ahmad Zahid dalam rangka lawatan kerja dua
hari ke Sarawak bermula hari ini.
Esok, Timbalan Perdana Menteri dijangka menghadiri majlis
bersempena sambutan Hari Penjara di Padang Merdeka, Kuching, sebelum
mengakhiri lawatan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment