Friday, March 25, 2016
Sampai Begitu Sekali Nak Masuk Mahkamah Syariah.... Peguam Bukan Islam Tidak Boleh Beramal (Practice) Di Mahkamah Syariah
Mahkamah Perseketuan pada Khamis memutuskan peguam bukan Islam tidak boleh beramal di Mahkamah Syariah.
Dalam keputusannya, panel lima Hakim Persekutuan yang diketuai Presiden
Mahkamah Rayuan, Tan Sri Raus Sharif memberi keputusan majoriti 3-2
bahawa peguam bukan Islam tidak boleh beramal di Mahkamah Syariah.
Untuk rekod, Victoria Jayaseele Martin yang memohon untuk menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Tetapi, ia ditentang oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Peguam Negara.
Semasa hujahan pada tahun lalu, MAIWP yang diwakili peguam Datuk
Sulaiman Abdullah dan Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Shamsul Bolhasan,
berkata hanya orang Islam boleh berdebat berkenaan hal ehwal perundangan
Islam di Mahkamah Syariah.
Mahkamah Syariah jelasnya tidak boleh mengenakan hukuman terhadap peguam
bukan Islam kerana perbuatan tersebut dilihat menghina serta menurut
Majlis Fatwa Kebangsaan, orang bukan Islam perlu dilarang daripada
muncul di Mahkamah Syariah.
Selain itu, isu hak asasi manusia di bawah Islam mesti diputuskan
mengikut undang-undang agama dan bukan undang-undang sekular serta tidak
wujud diskriminasi kerana ia hanya melibatkan orang Islam.
Sementara Victoria yang diwakili peguam Datuk Dr Cyrus Dass dan Ranjit
Singh berhujah dengan merujuk kepada Seksyen 59 Akta Pentadbiran
Undang-Undang Islam 1963 (Wilayah Persekutuan) yang membolehkan
mana-mana individu diterima sebagai peguam syariah jika beliau
berkelayakan dalam bidang undang-undang syariah.
Pihak pembelaan bagaimanapun menjelaskan maiwp mempunyai kuasa untuk
mengubal prosedur kelayakan dan peraturan tersebut mengikut akta
pentadbiran undang-undang Islam 1963 Wilayah Persekutuan.
Mahkamah diberitahu, MAIWP kemudiannya mengenakan syarat-syarat di bawah
Peraturan 10 dalam Peraturan-Peraturan Peguam Syarie 1993 di mana
menetapkan seorang peguam syariah mestilah Islam untuk mencapai tujuan
akta tersebut.
Martin, 53 tahun, yang merupakan lepasan Diploma Undang-Undang dan
Amalan Syariah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
pada 2004, memohon untuk diterima sebagai peguam syarie di Wilayah
Persekutuan namun Mahkamah Tinggi tidak membenarkan permohonan semakan
kehakiman tersebut.
Mahkamah Rayuan kemudiannya membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu
dengan mengisytiharkan bahawa Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993
yang menyebut hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie
adalah bercanggah dengan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah
Persekutuan) 1993.
Seksyen 59 akta tersebut menetapkan bahawa mana-mana orang yang
mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang Hukum Syarak boleh diterima
menjadi Peguam Syarie bagi mewakili pihak-pihak dalam apa-apa prosiding
di dalam Mahkamah Syariah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment