Friday, March 25, 2016

Isu Rumah Banglo : Guan Eng Tidak Tahu Nilai Tapi Sudah Bayar Duti RM122,100

KUALA LUMPUR : Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kini boleh diibaratkan umpama terjun dalam lubang yang digalinya sendiri apabila satu demi satu kontroversi pembelian banglonya terdedah.

Malah dalam sidang parlimen yang berlangsung malam tadi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan turut mendedahkan dua dokumen Perjanjian Jual Beli (S&P) berkaitan tanah yang diperuntukkan untuk projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) di Taman Manggis, Pulau Pinang.

Abdul Rahman  mendakwa dua dokumen itu menyatakan bagaimana tanah tersebut yang kini dimiliki sebuah syarikat swasta iaitu Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) cuba dijual kepada pihak ketiga dengan harga RM20 juta.
Lawak Banglo Guan Eng 
Sebelum ini Guan Eng turut mendakwa bahawa dia sendiri tidak mengetahui mengetahui harga pasaran rumah banglo yang dibelinya tahun lalu.

Mengulas perkara tersebut  Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim menyifatkan pengakuan Guan Eng kononnya tidak tidak mengetahui harga pasaran rumah banglo yang dibelinya tahun lalu adalah satu penipuan nyata yang tidak boleh diterima akal.

“Guan Eng jelas menipu dalam menjawab soalan media berhubung pembelian banglonya dengan harga lebih murah dari harga pasaran. Notis Taksiran Pindah Milik Harta Tanah yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 27 Ogos tahun lalu menunjukkan harga pasaran rumah banglo berkenaan bernilai RM4.27 juta.

“Mustahil dia tidak tahu harga pasaran rumah itu kerana notis taksiran sudah dikeluarkan tahun lalu dengan harga pasaran RM4.27 juta dan dia perlu membayar duti sebanyak RM122,100.

“Kata tak tahu tapi dia sendiri sudah membuat deklarasi kepada LHDN bahawa rumah yang dibelinya lebih rendah dari harga pasaran, malah dia sudah bayar duti yang dikenakan. Jadi, siapa yang hendah diperbodohkan sekarang ini,” ujarnya dalam satu wawancara khas bersama media.

Oleh kerana itu, Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang telahpun membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar perkara ini disiasat segera.
Rafizal turut membidas tindakan Guan Eng yang membawa pengamal media melawat banglo tersebut.

“Ini adalah tindakan untuk menutup mata rakyat kononnya beliau tidak bersalah. Seharusnya agen penilai tanah yang dibawa dan bukannya pengamal media. Bagi saya, Guan Eng hanya ingin mengalih isu agar perkara ini tidak menjadi perhatian.

“Kerana itu juga dia hanya menyalahkan ahli Parlimen Tasek Gelugor kerana tidak datang minum kopi dengannya,” katanya lagi.

Pemuda UMNO Pulau Pinang turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang memberikan tender projek komersial kepada syarikat Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn Bhd (KLIDC) dengan harga yang amat murah sehingga menyebabkan kerajaan negeri itu telah rugi jutaan ringgit.

“Setelah disiasat rupanya KLIDC mempunyai kaitan rapat dengan dua syarikat lain iaitu Winbond Dental Sdn Bhd dan Winbond Management & Consultand Sdn Bhd. di mana Phang Li Koon (pemilik rumah banglo) tersenarai sebagai pemegang saham 20 peratus dalam syarikat tersebut.

“Jadi, adakah diskaun tender tanah di Taman Manggis itu ada kaitan dengan diskaun pembelian banglo Guan Eng? Inilah yang rakyat mahu tahu,” terang Rafizal selanjutnya.

Ketika ditanya bagaimana jika ada pihak yang mengatakan ini adalah satu konspirasi UMNO untuk merosakkan karier politik Guan Eng, beliau menegaskan ia bukanlah satu masalah kerana tuduhan dan dakwaan yang disuarakan ini bukanlah tuduhan melulu tetapi berserta bukti yang sahih.

“Lagipun memang sudah biasa, bila Dap terpalit kontroversi mesti UMNO yang dituduh. Jadi biarkan sahaja.. yang penting Guan Eng perlu menjawab segala persoalan ini. Jangan cuba lari atau putar belit kerana semuanya sudah terang lagi bersuluh.

“Kini hanya masa yang bakal menentukan sama ada dia akan didakwa atau tidak… Sekarang kita tunggu pihak berkuasa jalankan siasatan,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment