Monday, December 28, 2015
ASNB Umum Dividen 6.10 Sen Untuk 2015
KUALA LUMPUR : Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB),
anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), hari ini
mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.10 sen seunit bagi Amanah Saham
Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2015, berbanding 6.45 sen seunit yang diagihkan pada 2014.
Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata agihan pendapatan
itu membabitkan pembayaran sejumlah RM106.72 juta dan memberi manfaat
kepada 1.25 juta pemegang unit yang kini memiliki sejumlah 1.75 bilion
unit ASN.
“Sehingga 23 Dis, ASN mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM126.27
juta,” kata beliau pada sidang akhbar selepas mengumumkan agihan dividen
itu di sini hari ini
Daripada jumlah berkenaan, keuntungan daripada jualan saham
menyumbang 63.3 peratus, diikuti dengan pendapatan dividen daripada
pelaburan dalam syarikat-syarikat (28 peratus) dan instrumen lain (8.7
peratus).
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Ekseutif PNB Tan Sri Hamad
Kama Piah Che Othman berkata dividen yang lebih rendah itu disebabkan
oleh persekitaran ekonomi yang mencabar, seperti harga komoditi yang
rendah dan prestasi pasaran saham yang kurang memberangsangkan.
“Indek FTSE Bursa Malaysia KLCI telah mencatat penurunan sebanyak
5.5 peratus kepada 1,663.51 mata pada 23 Disember, 2015 daripada
1,761.25 mata pada 31 Disember, 2014,” katanya.
Agihan pendapatan akan dilaburkan semula ke dalam unit tambahan ASN
dan akan secara automatik dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang
unit berdasarkan nilai bersih setakat 31 Dis, 2015.
Pemegang unit boleh mengemas kini akaun ASN mereka bermula 4 Jan, 2016 di mana-mana pejabat ASNB atau ejennya di seluruh negara.
Semua urus niaga ASN di ibu pejabat ASNB, pejabat atau ejennya
digantung pada 24 Dis tahun ini sehingga 3 Jan ini bagi memudahkan
pengiraan agihan pendapatan dan urus niaga boleh dijalankan semula pada 4
Jan, 2016.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment