Monday, December 28, 2015

Pembangkang Diingatkan Henti Main Isu Perkauman Bagi Raih Sokongan Rakyat Sarawak

KUALA LUMPUR : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata pembangkang menyedari bakal mengalami kesukaran mendapatkan kepercayaan rakyat Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Justeru beliau percaya, tidak mustahil isu perkauman akan digunapakai bagi mencetus api kebencian kepada kepimpinan negeri yang sedia ada yang setakat ini telah mentadbir dengan baik dan cemerlang.

Jelasnya lagi, kreadibiliti dan kewibawaan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Adnan Satem telah membawa imej baik kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri tersebut dengan pelbagai pendekatan dan polisi baru yang diperkenalkan di bawah kepimpinan digemari rakyat.
PRN Sarawak 
“Sejak beliau mengambil alih kerajaan negeri banyak isu dan masalah yang dihadapi selama ini telah berjaya beliau selesaikan dengan sokongan kuat kerajaaan di peringkat persekutuan.

“Pendekatan yang beliau lakukan ini telah memberikan keyakinan baru kepada rakyat negeri Sarawak dan keadaan ini memperlihatkan bahawa rakyat memerlukan Adnan Satem untuk terus menerajui Kerajaan BN di negeri itu.

“Beliau nampaknya bukan hanya mampu rapat atau selesaikan masalah antara parti politik di Sarawak malah telah dapat melemahkan pembangkang di Sarawak selain keupayaan beliau mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat. Ini dibuktikan apabila Sarawak diiktiraf sebagai Negeri Perpaduan di Malaysia,” ujarnya kepada pihak media.

Oleh kerana itu tambah Shamsul, pembangkang menyedari bakal berhadapan laluan sukar untuk memenangi PRN Sarawak yang dijangka tahun hadapan, kerana tidak banyak isu yang boleh mereka gunakan.

“Lantaran itu tidak mustahil pembangkang akan menggunakan isu perkauman bagi menarik sokongan rakyat kepada mereka namun saya cukup yakin ia amat sukar dilakukan kerana keadaan majoriti masyarakat Sarawak sukar menerima isu perkauman dalam kehidupan mereka walaupun sebahagian kecil terpengaruh namum saya yakin ia tidak akan menjejaskan sokongan rakyat kepada Kerajaan BN Sarawak.

“Justeru itu, saya amat berharap rakyat Sarawak menolak politik perkauman yang mungkin dimainkan oleh pembangkang kerana ia langsung tidak memberikan keuntungan malah ia membahayakan masa depan rakyat Sarawak sendiri.

“Saya percaya rakyat Sarawak matang dalam membuat keputusan dan akan terus memberikan sokongan kepada BN kerana ini sahaja parti yang mampu membela rakyat Sarawak bagi masa depan yang lebih baik,” katanya lagi.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment