Thursday, December 10, 2015

Sokong 100%.... Perwakilan Sokong Jika UMNO Jalin Kerjasama Dengan PAS

KUALA LUMPUR : Kerjasama antara Umno dan PAS seperti yang dicadangkan pelbagai pihak demi kepentingan Melayu dan Islam, rata-ratanya mendapat reaksi yang positif daripada ahli akar umbi parti terbesar Melayu berkenaan.

Dalam satu tinjauan rambang Antarapos mendapati rata-ratanya berpendapat cadangan kerjasama berkenaan wajar direalisasikan jika ia memberikan manfaat bukan saja kepada bangsa Melayu malah kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya.

"Satu-satunya yang boleh menyatukan dan mengukuhkan kita sebagai orang Melayu adalah penyatuan PAS dan Umno. Kita harap sangat ini menjadi kenyataan," ujar AJK Wanita Umno Bahagian Pasir Salak, Jamaliah Mohd Tahir.

Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam satu temubual bersama stesen televisyen TV3 berkata, PAS menunjukkan tanda-tanda menggalakkan ke arah permuafakatan dengan Umno berdasarkan beberapa tindakan positifnya terhadap parti tunjang orang Melayu itu.

Antaranya kata Najib, tanda-tanda itu dibuktikan menerusi langkah parti Islam berkenaan yang mengambil sikap berkecuali sewaktu pengundian Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 pada persidangan Dewan Rakyat pada 16 November lepas.

Dalam pada itu, seorang ahli Umno Cawangan Andalas, Nik Zaki Abdullah turut sama menyokong cadangan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan.

Namun kata beliau, cadangan kerjasama itu tidak semestinya melibatkan penggabungan PAS dan Umno, sebaliknya ia boleh dilakukan atas dasar 'kebaikan bangsa Melayu dan Islam' sahaja.  

"Kalau kedua-dua parti itu mahu bersatu, itu bukan masalah..

(Bersatu demi kebaikan rakyat) itu bagus, tapi pendapat sama dengan badan (parti) sama itu perkara asing.. Badan (parti) asing tapi pendapat itu sama, boleh.. tapi tak semestinya bersama (bergabung)," ujar beliau.

Bagaimanapun, salah seorang ahli akar umbi berpendapat, kerjasama antara dua parti berkenaan sewajarnya tidak hanya dilakukan demi kepentingan bangsa Melayu semata, sebaliknya ia perlu memberi kesan kepada seluruh rakyat negara ini tanpa mengira bangsa.

"Bila kita bergabung, itu menunjukkan kita memihak kepada bangsa. Datuk Onn dahulu cuba jadikan Umno satu parti termasuk bangsa lain tapi sampai sekarang pun Melayu bersama Melayu, Cina sama Cina. Bila nak akhirkan perkara ini? Parti di Malaysia ini menjurus kepada bangsa. Jadi cara ini saya fikir tidak elok.

"Dalam perlembagaan dah ada peruntukan untuk orang Melayu.. tak boleh bubar yang itu. Kita dah ada itu," katanya sambil mencadangkan agar keahlian Umno dibuka kepada bangsa lain.

Isu kerjasama antara Umno dan PAS menjadi antara perkara yang diperdebatkan pelbagai pihak, sementelah ia turut menjadi perhatian tokoh agama.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini berpandangan kerjasama antara Umno dan PAS mungkin dapat direalisasikan kerana idealisme kedua-dua parti itu tidak jauh berbeza.

Ujar Mohd Asri, ini kerana pada pandangannya PAS kini dilihat hampir menyamai Umno, malah mencadangkan parti Islam itu patut cuba menjalinkan hubungan kerjasama bersama Umno secara serius setelah cubaan bersama parti pembangkang lain sebelum ini tidak kekal lama.

Tambah beliau lagi, jika kedua-dua parti itu bergabung, ianya dilihat akan memberi banyak manfaat kepada rakyat dan juga negara. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment