Thursday, December 10, 2015

Tuduhan Mat Sabu ISIS Resapi PAS Hanya Untungkan DAP?

Pendedahan Presiden Parti Amanah Rakyat (Amanah, Mohamad Sabu bahawa pemikiran Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) sudah meresapi parti politik khususnya PAS mesti disiasat segera.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu mengutamakan penyiasatan ini kerana jika tidak ia akan menjadi satu ancaman keselamatan yang sukar dibendung.

"Saya sebagai presiden Amanah menuntut satu kajian serius dibuat Polis Cawangan Khas (SB) kerana ia bahaya kepada keselamatan negara Malaysia," kata Mohamad dalam wawancara eksklusif dengan sebuah portal berita baru-baru ini.

Katanya, asas pemikiran ISIS ini ialah budaya takfiri yang cenderung mengkafirkan kumpulan yang berbeza pandangan dan menganggap mereka yang “dikafirkan” halal darahnya untuk dibunuh.

Mohamad juga mengesyaki ada badan lain yang membawa masuk pemikiran ISIS sehingga tidak disedari pemimpin PAS sendiri.

Malah Mat Sabu juga mempersoalkan kewibawaan PDRM menangani isu ini apabila beliau dilaporkan portal berkenaan seperti berikut:

"Adakah polis Malaysia tidak dapat mengesan perkara ini atau ada konspirasi bersama?

"Adakah fahaman ini masuk begitu saja atau ada badan lain menyusunnya," kata Mat Sabu yang bimbang ia dirancang musuh PAS sehingga parti Islam itu berpecah sebagaimana sekarang.

Beliau menegaskan bahawa penyusupan masuk pemikiran ISIS dalam PAS inilah yang mendorong beliau dan rakan-rakannya menubuhkan Amanah.

Mohamad berkata, budaya ini bukan saja berbahaya kepada PAS bahkan juga menjadi bom jangka kepada keselamatan negara.

Sesungguhnya persoalan yang dibangkitkan Mat Sabu ini mencabar wibawa PDRM kerana mempersoalkan adakah polis gagal mengesan aktiviti ISIS atau mungkin berkonspirasi dengan pihak yang membawa masuk pemikiran terrorisme ini?

Polis harus mewawancara Pengarang Analisis dan Rencana portal The Malaysian Insider, Zulkifli Sulong yang menulis laporan berkenaan. Pastikan beliau tidak salah tafsir kenyataan Mt Sabu.

Tindakan itu perlu kerana Timbalan Mat Sabu, Salahuddin Ayob menyifatkan laporan itu sebagai satu salah tafsir media terhadap kenyataan Mat Sabu.

Beliau cuba “menjernihkan” keadaan dengan mengatakan bahawa Amanah tidak menolak kemungkinan ideologi militan ISIS boleh meresap ke dalam partinya sendiri.

Salahuddin berkata, kenyataan Mat Sabu itu sebenarnya meminta semua pihak, khususnya gerakan Islam berwaspada dengan ancaman budaya dan pemikiran gerakan militan berkenaan.

"Mat Sabu sebut dalam konteks budaya dan pemikiran IS yang melanda hampir semua gerakan Islam di dunia dan Malaysia, perlu diwaspadai, itu yang dimaksudkan.

"Contohnya budaya 'takfiri' (iaitu) mengkafirkan orang, budaya yang menonjolkan bahawa parti mereka saja yang Islamik, kalau keluar parti masuk neraka atau halal darah mereka untuk dibunuh.

“Ini budaya yang sedang dikhuatiri akan melanda mana-mana gerakan dan parti Islam termasuk kami," katanya pada sidang media Amanah Ahad lalu.

Hadir dalam sidang itu ialah Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir; Ketua Angkatan Wanita Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

Salahuddin menjawab soalan sama ada kenyataan Mat Sabu yang mendakwa pemikiran IS menyerap ke dalam PAS hingga suburnya budaya takfiri dalam parti itu, adalah kenyataan peribadi atau mewakili Amanah.

Sebelum itu, Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, menurut sumber dalaman Amanah, kenyataan Mat Sabu itu tidak dipersetujui sebahagian besar pimpinan Amanah dan beliau tidak merujuk kepada mereka.

Kata Mustafa, Mat Sabu lebih mementingkan survival politiknya berbanding kepentingan Amanah yang beliau sedar kini kehilangan “steam” dan momentum selepas hanya beberapa bulan ditubuhkan.

"DAP di bawah Lim Guan Eng mahukan dominasi total ke atas pengundi Cina apatah lagi dalam suasana menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

"Oleh itu, Mat Sabu cuba mengaitkan PAS dengan ISIS untuk menakutkan pengundi Cina.

"Khabarnya, Mat Sabu juga mendapat jaminan Lim untuk bertanding di satu kawasan selamat dalam PRU ke-14 akan datang, sama ada di bawah simbol Amanah atau DAP," katanya.

Mustafa berkata, Mat Sabu sedar kedudukannya sebagai presiden Amanah goyah kerana pengaruh kumpulan seperti Ikram dan Alami yang meresapi Amanah dan tidak senang latar belakang Mat Sabu.

"Untuk menyelamatkan diri, Mat Sabu tidak kisah menjadi alat atau jurucakap DAP. Apa lagi persepsi umum sudah melihat Amanah tidak lebih daripada proksi DAP," katanya.

Namun, kata Mustafa, walaupun tuduhan itu berniat jahat, provokasi itu tidak akan memberi kesan kepada PAS kerana masyarakat umum sudah memahami pendirian PAS.

"Sebaliknya ia akan mengesahkan pandangan rakyat yang Amanah dan Mat Sabu adalah proksi DAP sebagai satu realiti, bukan lagi sekadar satu persepsi," kata Mustafa.

Persoalannya, adakah Mat Sabu yang “memandai-memandai membuat tuduhan ISIS meresapi PAS” atau beliau cuma menjalankan “tugasnya” untuk mengambil hati DAP? 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment