Monday, December 28, 2015

PAS Dalam Pakatan : Tak Mahu Dicerai, Tapi Bila Diajak Tidur Bersama Tak Mahu

KUALA LUMPUR : Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii  menyifatkan situasi Pas di dalam pakatan pembangkang hari ini seolah-olah digantung tak bertali sehingga menyebabkan ahli dan penyokong, malah kepimpinan Pas sendiri merasa keliru dengan status Pas di dalam pakatan pembangkang.

Menurut beliau, kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah yang mengumumkan Pas tidak akan diberi kerusi di pilihanraya negeri Sarawak memperlihatkan Pas seolah-olah masih bersama pakatan pembangkang, tetapi dalam masa yang sama hubungan politik antara Dap dan Pas sudah tidak lagi wujud.

“Apa yang saya lihat di sini, pakatan pembangkang tak mahu ceraikan Pas tetapi tidak mahu tidur bersama.  Sudah tentulah jika diumpamakan di dalam sebuah perkahwinan, Pas akan merajuk dan buat hal dalam keadaan seperti ini.
razlan 
“Kenyataan Wan Azizah berhubung tidak ada kerusi bagi Pas di Sarawak juga membuktikan bahawa mereka tetap mahukan Pas, namun mereka membuat keputusan sesuka hati tanpa mengambil kira pandangan kepimpinan Pas itu sendiri.

“Kecelaruan politik yang diamalkan oleh kepimpinan pembangkang bukan sahaja mengelirukan rakyat tetapi turut mengelirukan ahli dan kepimpinan Pas itu sendiri. Sebab itu saya umpamakan Pas seperti digantung tidak bertali. Dicerai tidak namun diajak tidur bersama tak mahu,” katanya sinis kepada pihak media di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam hal ini kepimpinan UMNO sejak dari dulu lagi meramalkan bahawa Pas tidak akan bertahan lama dengan gabungan Dap dan PKR di dalam pakatan pembangkang.

“Mungkin dulu rakyat tidak faham apa maksud kita mengatakan Pas di dalam pakatan pembangkang seumpamanya tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Dan hari ini kita dapat tengok betapa terbukti benar ramalan itu melihatkan situasi konflik dan krisis yang berlaku antara Pas dan Dap.

“Ketidakstabilan parti-parti pembangkang dalam hubungan dan kerjasama politik yang berlaku inilah yang membimbangkang kita. Negara tidak dapat ditadbir dengan baik jika kita berikan mereka kuasa kerana diantara mereka sendiri tidak sehaluan dan sering bercakaran.

“Mana mungkin negara dapat maju kehadapan jika kita memilih pemerintah yang lebih mengutamakan politik kepartian dan peribadi mereka berbanding dengan kepentingan rakyat.,” ujarnya.

Kini dalam soal isu kerusi kata Razlan lagi, mereka sudah memulakan perbalahan baru sedangkan isu perbalahan lama antara Pas dan Dap serta status Pas di dalam pakatan pembangkang masih lagi belum selesai.

“Dalam isu pembahagian kerusi bagi pilihanraya Sarawak kita dapati mereka saling tuding menuding jari mendakwa parti mereka adalah lebih baik dan mendapat sambutan rakyat dari yang lain. 
Sedangkan hakikatnya bagi saya ketiga-tiga parti itu masih belum layak untuk mentadbir negara biarpun melalui gabungan atau dengan cara bersendirian.

“Saya rasa mereka patut contohi bagaimana kepimpinan parti-parti di dalam Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO yang masih kekal utuh dalam kerjasama politik demi kepentingan rakyat dan negara sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Kerana kesefahaman, toleransi dan kerjasama yang baik dengan satu matlamat untuk memajukan negara, maka BN telah berjaya membangunkan ekonomi dan infrastruktur negara dengan begitu pesat seperti yang kita nikmati hari ini. Ketiga-tiga faktor ini tidak ada dalam pembangkang dan sebab itulah kita lihat mereka asyik bercakar sesama sendiri sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka pada rakyat  hari ini,” tegasnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment