Monday, December 28, 2015

SKMM Diminta Segera Sekat Video Penceramah Dakyah Ekstremis

https://maalimfitariq.files.wordpress.com/2009/07/dakwah24.jpg
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu segera menyekat video penceramah bebas yang menyampaikan dakwah berunsurkan ekstremis, melalui media sosial.

Pendakwah bebas Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata langkah itu bagi memastikan penularan fahaman bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dapat dibendung lebih awal.

“Berceramah melalui media sosial ini baik, tapi ia perlu dipantau dan diberi pengawasan seketat-ketatnya.

“Dalam hal ini, pihak polis perlu menyenaraikan individu yang dilihat berhujah tanpa asas dengan memanipulasi Al-Quran dan Hadis untuk membawa fahaman ekstremis melalui YouTube,” katanya.

Beliau mengulas saranan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay supaya orang ramai tidak mempercayai dakyah yang disampaikan penceramah bebas di YouTube, bagi mengelak penularan fahaman ekstremis.

Mengulas lanjut, Wan Akashah berkata pihak berkuasa agama juga perlu tampil memberi bantuan dalam mengesan sama ada intipati ceramah yang disampaikan penceramah melalui media sosial itu bersandarkan Islam atau sebaliknya.

“Ini bagi menapis senarai penceramah yang berkualiti serta memastikan individu yang layak sahaja boleh menyampaikan ceramah agama di negara ini,” katanya.

Beliau turut menyarankan majlis-majlis agama Islam negeri supaya mengetatkan lagi penguatkuasaan terhadap pendakwah yang tidak bertauliah di negeri masing-masing.

Selain itu, Wan Akashah menasihatkan orang ramai supaya menyelidik latar belakang penceramah yang ditonton mereka melalui media sosial sebelum menerima sepenuhnya apa yang disampaikan mereka.

“Laporkan kepada pejabat agama jika ada pendakwah atau guru agama tidak bertauliah mengajar di tempat mereka.

“Masyarakat juga perlu berhati-hati sebelum memberikan sumbangan kepada mana-mana pihak atau penceramah bebas dalam usaha menyekat penyebaran fahaman bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment