Thursday, December 10, 2015
Presiden UMNO Umumkan Kerjasama Dengan PAS di PWTC
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak hari ini menghulurkan "tali
silaturahim" kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara
ini mengikut syariat Islam sebenarnya.
Najib yang juga Perdana Menteri melahirkan rasa gembiranya kerana PAS
tidak lagi bersama pakatan pembangkang selepas "disepak dan diterajang
keluar" oleh rakan-rakan pembangkangnya.
"Maka saudara dan saudari...kita di dalam UMNO, berasa lega, malah
gembira, pabila PAS kini tidak lagi bersama dengan parti pembangkang.
"Dengan hati yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali
silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina
sebuah Malaysia di atas syariatnya," katanya dalam ucapan dasarnya
semasa merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC) di sini.
Walaupun UMNO mendambakan perpaduan ummah namun Najib menegaskan, apa
yang paling utama dan paling mustahak adalah untuk menyokong kesatuan
serta solidariti dalam UMNO itu sendiri terlebih dahulu.
Pertelingkahan secara terbuka di antara PAS dengan rakan-rakan PR
terutamanya DAP berlaku sejak kebelakangan ini terutamanya di
negeri-negeri diperintah pembangkang seperti Selangor dan Pulau Pinang.
Hubungan PAS dengan rakannya dalam PR semakin meruncing berikutan
penubuhan parti Amanah yang diterajui bekas-bekas pemimpin parti itu
yang mendapat sokongan kuat DAP.
Baru-baru ini, PAS mengisytiharkan parti itu sebagai parti pembangkang
di Pulau Pinang berikutan tindakan kerajaan negeri itu yang dipimpin DAP
memecat 300 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
(JKKK) dalam kalangan anggota PAS.
Sementara itu, menyentuh kepada kenyataan individu tertentu yang mahukan
negara menjurus kepada sistem dua parti, Najib dengan tegas menyatakan
ia tidak akan berlaku dan UMNO tidak akan menerimanya.
"Mana boleh...mana boleh perkara ini kita terima," katanya dan menambah,
UMNO tidak akan menerima seruan itu bukan atas dasar ia tidak faham
pengertian demokrasi tetapi "seruan tidak bijaksana" itu berbahaya.
Najib berkata, orang Melayu dan ahli UMNO perlu berjaga-jaga dan
berwaspada dengan seruan terhadap dua sistem parti itu dan "jangan
sampai kita terjun ke dalam perangkap ini."
Realiti politik di Malaysia hari ini, katanya, rakyat mempunyai dua
pilihan sahaja iaitu sama ada gabungan yang dipimpin oleh UMNO atau satu
lagi yang didominasi oleh DAP.
"Maksud saya, seandai dan sekiranya UMNO ditolak, negara ini akan
diperintah oleh mereka yang antiperjuangan Islam serta menolak
perjuangan Melayu dan Bumiputera.
"Bencananya yang akan menimpa, apakah kita mahu masa depan anak cucu dan
agama Islam dipertaruh kepada selain daripada kepimpinan Melayu dan
Islam sedia ada? Nauzubillah," katanya.
Menjadikan DAP sebagai sasaran dalam ucapannya itu, Presiden UMNO itu
berkata, parti itu tidak pernah setia dengan rakan-rakan gabungannya dan
kini cuba "menguasai" parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.
Menurut Najib, di Pulau Pinang yang diperintah oleh DAP, Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin telah menangis
"teresak-esak dan tersedu-sedan" mengenangkan nasib pengundi terutamanya
orang Melayu yang tidak diperendah dan tidak dipeduli oleh Ketua
Menteri, Lim Guan Eng.
Katanya, perkara sedemikian tidak pernah terjadi dalam sejarah Barisan Nasional (BN).
"Realitinya, siapa yang zalim sebenarnya? Tepuk dada, tanyalah selera," katanya.
Presiden UMNO itu berkata, tindak-tanduk DAP itu turut dapat dilihat di
Selangor apabila pemimpin-pemimpin parti itu menyatakan hasrat untuk
bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi
PAS sebelum ini.
Najib berkata, keangkuhan DAP juga terserlah di Sarawak, di mana parti
itu memutuskan hubungan dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya
kerana ingin bertanding di lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri
itu.
"Itulah dia DAP, yang tidak pernah setia dengan rakan gabungannya. Tahun
1990, mereka membentuk gabungan pembangkang. Lalu berpecah pada tahun
1995. Bergabung semula di tahun 1999. Kemudian tahun 2004, berpisah
lagi," kata Najib.
DAP, menurutnya, cuba lagi berpakat pada 2008 dan 2013 dengan PAS serta PKR.
"Kalau nak ikutkan perumpamaan orang berkahwin, sudah tiga kali jatuh
talak. Nampaknya, besok-besok, kalau pecah pulak dengan Pakatan Harapan,
tak taulah pulak talak berapa nak pakai nanti," kata Presiden UMNO itu.
Puak-puak DAP itu, kata Najib, tidak pernah bersatu hati dengan pakatan
mereka dan meminta rakyat supaya berfikir serta merenungkan keupayaan
mereka untuk memerintah negara ini.
"Nak berpakat pun payah, jadi macam mana nak perintah negara," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment