Monday, December 28, 2015

Jangan Ungkit Kisah Silam Untuk Gagalkan Kerjasama UMNO-Pas : Syed Ali

KUALA LUMPUR : Usaha kerjasama politik antara UMNO-Pas yang menjuruskan kepada penyatuan umat tidak harus dicuriga sebaliknya perlu dilihat secara lebih positif dalam konteks kepentingan negara bangsa, tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Beliau berkata, persepsi dan andaian dengan menjadikan sejarah hubungan UMNO-Pas yang pernah bersatu dalam gagasan Barisan Nasional (BN) tidak perlu diungkit dan dijadikan alasan untuk menggagalkan usaha tersebut.

“Ada kalangan pemimpin Pas menjadikan sejarah lalu sebagai dendam politik untuk menolak pelawaan UMNO, ini tidak membawa keuntungan kepeda kepentingan sejagat,” tegasnya dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.com.
Syed Ali UMNO Pas 
Katanya,semua pihak sama ada dalam kepimpinan UMNO dan Pas hendaklah melihat keutamaan penyatuan orang Melayu dan umat Islam sebagai kerangka utama dalam merintis jalan penyatuan tersebut.

” Kita kena mengambil pendekatan positif dan realistik dengan melihat kepada kepentingan umat Islam dan negara bangsa, sentimen politik kepartian sewajarnya diketepikan,”katanya.

Beliau mengulangi bahawa pemimpin UMNO sentiasa bersikap ikhlas untuk menjalin kerjasama dengan Pas tanpa dipengaruhi oleh agenda atau kepentingan kumpulan tertentu.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menegur sikap sesetengah pemimpin Pas yang dikatakan menunjukkan kesangsian terhadap keikhlasan UMNO.

Malah katanya, sikap segelintir Pas yang seolah-olah ‘keras kepala’ untuk tidak mengadakan kerjasama dengan UMNO sesuatau yang amat mendukacitakan.

“Ketika presiden mereka (Pas), Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang kelihatan positif dan menerima pelawaan UMNO, ada pula sesetengah pemimpin Pas mencurigai usaha tersebut, ini boleh merencatkan usaha kerjasama tersebut,”tegasnya.

Awal bulan ini, Presden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa berucap pada sesi penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO secara terbuka telah menghulurklan salam perpaduan dan kerjasama dengan Pas.

Tindakan Najib telah mendapat sokongan padu daripada seluruh ahli-ahli UMNO termasuk peringkat akar umbi dan orang Melayu keseluruhannya yang melihat sikap keterbukaan UMNO itu memberi impak besar terhadap kepentingan orang Melayu di negara ini.

Selain Haji Hadi, beberapa pemimpin kanan Pas termasuk Dewan Ulamak parti itu turut menyambut baik pelawaan Najib sambil menegaskan Pas bagaimanapun perlu mengkajinya secara terperinci bentuk kerjasama tersebut.

Menurut Syed Ali lagi, penyatuan dan kerjasama politik antara UMNO-Pas akan menjadi dimensi baru dalam senario politik Malaysia terutama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

“Kerjasama UMNO-Pas akan menjadi persekitaran politik orang Melayu bertambah mantap kearah pengukuhan umat, ini perlu diberikan sokongan dan dokongan semua pihak,” tegasnya.

Mengenai kerenah Dap dan parti AMANAH yang menentang usaha Pas menjalin kerjasama dengan UMNO, beliau menjelaskan kedua-dua parti pembangkang itu amat bimbang mereka akan terhakis sokongan orang Melayu pada PRU akan datang.

“Dap menagih ehsan Pas di kawasan pengundi Melayu dan apabila Pas sudah tidak lagi bersama pakatan pembangkang, ianya memberi satu ancama baru kepada Dap,” ujarnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment