Thursday, December 10, 2015
Tawaran UMNO Akan Dibincangkan - PAS
KOTA BHARU : Hubungan kerjasama yang dihulurkan Umno kepada PAS akan
dibincangkan dan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti, kata Timbalan
Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob.
Beliau berkata, kerja sama antara parti ini adalah perkara besar serta
membabitkan dua dasar parti yang berlainan dan perlu juga dibawa ke
muktamar PAS.
"Kerjasama dari segi politik, saya tidak boleh komen kerana ini mesti mari (datang) daripada pucuk pimpinan (PAS).
"Bagaimana pun saya mengharapkan dari segi kesedaran orang Melayu dan
Islam di negara ini mestilah semakin baik terutama untuk meletakkan
Islam di tahap yang tertinggi dalam semua perkara," katanya ketika
ditemui di kediamannya di Wakaf Baharu, Tumpat.
Ahmad diminta mengulas tawaran Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak
hari ini yang menghulurkan tali silaturahim kepada PAS untuk sama-sama
membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.
Najib yang juga Perdana Menteri melahirkan rasa gembiranya kerana PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang .
Najib berkata demikian dalam ucapan dasarnya semasa merasmikan
Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di
Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, hubungan
kerjasama antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Persekutuan adalah baik
dan sedang dipertingkatkan lagi.
"Kerjasama telah wujud sejak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
menjadi menteri besar Kelantan...sekarang ini saya meningkatkan lagi
kerjasama itu," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata
penjelasan berhubung tawaran jalinan kerjasama daripada Umno itu akan
dibuat oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Hanya Presiden yang akan membuat kenyataan berhubung perkara ini...kerana kita tidak mahu timbul sebarang kekeliruan," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment