Wednesday, December 02, 2015

Pembangkang Dalang Di Sebalik Akuan Bersumpah Charles Morais?

KUALA LUMPUR : Tindakan pembangkang yang bersungguh membela adik mendiang Anthony Kevin Morais,  Charles Suresh Morais yang lari ke luar negara selepas membuat akuan bersumpah yang cuba melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu kematian abangnya, seolah-olah mengesahkan bahawa pembangkanglah merupakan dalang di sebalik isu akuan bersumpah ini, demikian kata bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Datuk Seri Fairus Khairuddin.
charles morais
Katanya lagi, tindakan Charles Suresh Morais yang lari keluar negara selepas membuat pengakuan bersumpah itu berkemungkinan juga termasuk di dalam perancangan mereka  dan justeru itu, kesahihan berhubung akuan bersumpah itu amat wajar untuk diragui.

“Kalau perkara ini tidak didalangi oleh mereka, mengapa pula pihak pembangkang beria-ria mempertahankan tindakan Charles itu. Saya rasa bukan rahsia lagi bahawa akuan bersumpah ini merupakan strategi busuk pembangkang yang diguna pakai sejak dulu lagi untuk menjahanamkan imej pemimpin negara.

“Dan apabila pihak pembangkang mempertahankan tindakan Charles itu, seolah-olah bak pepatah Melayu, sudah terang lagi bersuluh bahawa ada kemungkinan merekalah yang menjadi perencana dan dalang kepada akuan bersumpah yang dibuat oleh Charles itu,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Beliau seterusnya membidas sikap dan pendekatan pembangkang yang menggunakan taktik politik kotor dan jijik dalam gelanggang politik negara, dengan menjadikan  fitnah dan tohmahan sebagai senjata untuk menjatuhkan kerajaan dan pemimpin.

“Saya yakin, semakin hari rakyat di negara ini semakin risau dengan pendekatan politik yang digunakan oleh pihak pembangkang. Mereka tidak lagi peduli tentang kebenaran. Fitnah atau tohmahan mereka tidak peduli, janji perkara itu mendatangkan keuntungan politik untuk mereka.

“Budaya politik berhemah, rasional dan hujah yang berdasarkan fakta kebenaran bagaikan sudah tidak wujud di pemikiran kepimpinan pembangkang. Mereka lebih gemar menyebarkan fitnah dan tohmahan sehingga menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

“Sebab itu bagi saya, pendekatan pembangkang dalam politik negara hari ini semakin lama semakin hina dan keji sehinggakan mereka sanggup lakukan apa saja termasuk menabur fitnah dan tohmahan semata-mata untuk meraih laba politik demi kepentingan agenda peribadi mereka sendiri,”ujarnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment